Polis siasat unsur sabotaj cemar sungai

Polis siasat unsur sabotaj cemar sungai

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima beberapa laporan berkenaan pencemaran Sungai Buah di Nilai, Negeri Sembilan yang mengalir ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, termasuk dakwaan pencemaran adalah disebabkan sabotaj pihak tertentu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan.

“Ya, kami ada terima laporan (punca pencemaran Sungai Buah) dan antara punca pencemaran adalah kemalangan melibatkan sebuah lori tangki yang membawa sejenis bahan kimia.

“Itu adalah salah satu puncanya dan kami juga bekerjasama dengan Jabatan Kimia untuk mengenal pasti sebab-sebab lain punca pencemaran sungai itu, termasuk kemungkinan adanya unsur sabotaj,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Mengatur Langkah Menangani Jenayah Berat’ anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan PDRM, di sini hari ini.

Pada 29 Okt lepas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata siasatan bersepadu akan dilakukan secepat mungkin bagi mengenal pasti punca pencemaran di sungai itu.

LRA Sungai Semenyih ditutup lebih lima kali tahun ini akibat pencemaran dengan yang terbaru berlaku pada 23 Okt lepas akibat pencemaran di Sungai Semenyih yang disyaki berpunca daripada kawasan perindustrian di Nilai.

Penutupan loji itu mengakibatkan gangguan air sementara di beberapa kawasan di Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata Balai Polis di Sibu, Sarawak tidak pernah ditutup pada waktu malam dan hanya pagar sahaja yang ditutup atas faktor keselamatan.

“Apa yang berlaku sekarang adalah salah faham orang yang melaporkannya, balai polis di Sibu tidak pernah dikunci mahupun ditutup, cuma pagar sahaja ditutup tapi kalau orang hendak datang buat laporan polis boleh sahaja datang.

“Bukan sahaja pagar balai polis di Sibu ditutup malah balai-balai polis lain yang terpencil juga pagarnya ditutup atas faktor keselamatan,” katanya ketika mengulas mengenai salah faham yang berlaku apabila ada pihak yang mendakwa balai itu ditutup pada waktu malam dan tidak beroperasi.

TAGS