Politik Kelantan panas, anak muda mula bangkit

Politik Kelantan panas, anak muda mula bangkit

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Serentak dengan kemasukan Datuk Husam Musa ke dalam Amanah di Kelantan adalah kebangkitan anak muda di negeri itu sehingga menyebabkan politik Kelantan menjadi panas dan memenuhi ruang dalam media khasnya media sosial.

Salah seorang anak muda yang bangkit selepas kemasukan Husam adalah Mohamad Hishamudin Ghazali atau lebih dikenali sebagai Sham Ghaz.

Beliau antara mangsa pertukaran kepimpinan kerajaan negeri Kelantan dari Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat kepada Datuk Ahmad Yakub.

Ekoran pergolakan politik itu, Sham Ghaz telah menamatkan khidmatnya dengan Kelantan Biotech Sdn Bhd, sebuah syarikat yang membuat kajian dan penyelidikan serta pembangunan tentang bioteknologi di negeri itu khasnya tentang madu kelulut.

Ekoran aktifnya Sham Ghaz, beliau telah menjadi sasaran penyokong kerajaan negeri khasnya penyokong Pas di di negeri itu.

Sham Ghaz melayani Nik Aziz ketika Allahyarham melawat pameran kelulut yang beliau buat.Marah dengan tindakan penyokong Pas di Kelantan menyerang pribadi beliau selepas membangkitkan beberapa isu politik di negeri itu, Sham Ghaz mendedahkan anugerah yang beliau terima kerana kerjabuatnya selama ini.

Ia termasuklah ‘Anugerah Usahawan Tani Jaya’ yang berkaitan dengan projek Kelulut di peringkat negeri Kelantan yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan sekarang, Datuk Ahmad Yaakob.

“Alhamduliah saya berjaya dalam perniagaan dan hobi saya, dalam NGO ROYALTI juga saya fokus, dan sekarang tengah membantu rakan-rakan ngo lain untuk membawa isu rakyat,” kata Sham Ghaz dalam facebooknya.

Sham Ghaz menjadi sasaran penyokong kerajaan negeri Kelantan selepas beliau membuat pelbagai pendedahan kelemahan kerajaan negeri.

Ia termasuklah memperjuangkan hak Orang Asli di Kelantan untuk mendapatkan geran tanah mereka sendiri.

Ini berikutan tindakan Orang Asli membuat sekatan terhadap pengusaha balak di hulu Kelantan yang disifatkan sebagai mengganggu punca pendapatan mereka.

Ekoran itu, Sham Ghaz kini sedang menyusun satu ekpedisi bersama media ke kawasan hulu Kelantan bagi mengesan kemusnahan alam semula jadi akibat pembalakan berlebihan.

Perbincangan hangat sedang juga berlaku di antara penyokong Amanah seperti Sham Ghaz dengan penyokong Pas selepas beliau mendedahkan kononnya air terjun Dakota di Gua Musang sudah hampir musnah dan tidak bermaya lagi akibat pembalakan berlebihan di negeri itu.

“Cybertrooper Pas tengah hangat serang hobi dan salah satu perniagaan saya, saya kempilkan dua gambar saya dengan 2 MB Kelantan (dulu dan kini), biar ia berbicara sendiri,” tulis Sham dalam facebooknya.

R sangat aktif memperjuangkan hak untuk mendapat royalti ketika Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi menteri besar sehingga membuat tuntutan ke mahkamah.

Namun aktiviti itu berhenti selepas hubungan baik berlaku antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Sham Ghaz serta rakan-rakannya mengumumkan pengaktifan semula R di malam 16 September, ketika Husam disambut secara rasmi kepulangannya ke Kelantan selepas menyertai Amanah.

Turut serta bersama beliau malam itu adalah 1500 lagi penyokong dan kepimpinan Pas Kelantan.

Sham Ghaz mengajukan beberapa persoalan dalam facebooknya untuk penyokong Pas di Kelantan.

“i. Adakah ia menjadi ancaman kepada parti politik bila saya membantu Orang Asli yang hutan tempat mereka berburu dimusnahkan pembalak?

“ii. Adakah saya bersalah membantu orang asli mendapat geran tanah dimana tanah mereka menetap pun tiada geran?

“iii. Adakah salah saya perjuangkan air minuman bersih mereka daripada tercemar dan dikotori macam air teh susu?

“iv. Adakah menjadi kesalahan saya mahu melindungi Hutan Semulajadi di Kelantan daripada dimusnahkan Kapitalis Balak dan Kapitalis Politik?

“Saya tiada jawatan apa-apa dalam mana-mana parti politik.

“Nasihat saya, tidak perlulah menyerang batang tubuh, kononnya saya ni penipu, jahat, dan macam-macam, gambar dan kejayaan demi kejayaan saya Allah SWT yang tahu.

“Rezeki itu milik Allah SWT, dia yang Maha Kaya, anda sekat, jika DIA nak bagi, insyaAllah saya akan dapat juga,” kata Sham Ghaz dalam posting itu.

TAGS