PPBM dakwa RUU Babi boleh kawal penternakan babi dari tercemar

PPBM dakwa RUU Babi boleh kawal penternakan babi dari tercemar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa kawasan Jawi, Pulau Pinang bukanlah kawasan penempatan Melayu sebagaimana didakwa tetapi perkampungan majoriti Cina dan kandang babi memang banyak di situ sejak dahulu.

Menurut Ketua Penyelaras PPBM Nibong Tebal, Ahmad Shukri Haji Saidin, kandang babi memang banyak di Jawi.

“Sejak saya kecil lagi kandang babi dah ada di situ, tanah-tanah pun orang Cina yang punya.

“Dibuat kandang tu masa zaman BN perintah, bukan DAP yang buat kandang babi semua ni,” kata beliau dalam satu kenyataannya selepas Rang Undang-undang penternakan babi secara sistematik diluluskan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

RUU itu memperuntukkan kawasan Jawi untuk dijadikan kawasan penternakan babi secara sistematik dan tidak mencemarkan alam sekitar.

Namun ekoran cadangan itu, para penyokong Pas dan Umno mendakwa kawasan Jawi adalah kampung Melayu yang hendak dijadikan kawasan penternakan babi melalui RUU Babi itu.

Ahmad Shukri mempertahankan rang undang-undang baru itu kerana ia dapat mengawal penternakan babi agar tidak mencemarkan kawasan orang Melayu khasnya.

“Rang Undang-undang ternakan Babi yang dibentang oleh YB Adun Seberang Jaya PKR pada sidang Dun Pulau Pinang untuk mengawal selia ternakan babi dan ditempatkan di Jawi bukankah satu penyelesaian yang terbaik dalam pengawalan dan pengurusan yang lebih bersistematik?” kata Ahmad Shukri.

Sehubungan itu, beliau meminta agar ia tidak dijadikan isu poerkauman pula kerana RUU ini berbeza dengan RUU 355 yang dibentangkan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen.

“Janganlah dijadikan isu babi ini perkauman pula. Janganlah kita samakan RUU 355 yang nak dibentangkan oleh YB Tuan Guru Haji Hadi Awang di Parlimen dengan RUU Babi di Dun Pulau Pinang…..ianya RUU yang berbeza,” katanya.

Beliau meminta semua pihak agar tidak bermain politik secara berlebihan.

“Cukup-cukuplah kita main politik…RUU 355 pun tak jadi dibentangkan pada sidang Parlimen baru ni….akan dibentang pada sidang Parlimen akan datang,” katanya.

Lagipun, katanya, MCA dan Gerakan terang-terang menyatakan mereka tidak menyokongnya, “kita kena rasional dalam semua hal.”

TAGS