PPBM dijangka akan sertai Pakatan Harapan, kata Salahuddin

PPBM dijangka akan sertai Pakatan Harapan, kata Salahuddin

 

Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pakatan Harapan dijangka diputuskan pada 13 Disember depan, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Salahuddin AyubPenyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pakatan Harapan dijangka diputuskan pada 13 Disember depan, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang diadakan setiap bulan bagi membincangkan gerak kerja gabungan parti pembangkang itu.

“Saya yakin kami akan bermesyuarat tentang hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi PPBM) untuk PPBM diterima dalam keluarga Pakatan Harapan.

“Saya yakin dan percaya bahawa tidak ada masalah untuk menerima PPBM menjadi satu lagi parti (gabungan) dalam Pakatan Harapan menjadikan empat parti iaitu Amanah, DAP, PKR dan PPBM,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pertama Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang di Georgetown, semalam.

Beliau berkata Tun Dr Mahathir sendiri menyatakan bahawa PPBM tidak mahu menyertai Pakataan Harapan sebagai ‘pakatan plus-plus’ sebaliknya mahu diterima sebagai satu keluarga dalam pakatan.

Pada Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam 12 November lalu Dr Mahathir dilaporkan berkata pihaknya akan menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum menyertai pakatan tersebut termasuk menjadikan pakatan itu sebagai satu entiti.

Sementara itu pada konvensyen itu juga Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata walaupun secara dasarnya PPBM bersetuju untuk menyertai pakatan pembangkang itu, tetapi kepimpinan kanan parti serpihan Umno berkenaan memerlukan masa untuk berbincang lebih lanjut mengenai penyatuan itu.

TAGS