PRK Sungai Besar: Polis terima empat laporan

PRK Sungai Besar: Polis terima empat laporan

Polis menerima empat laporan berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar membabitkan perbuatan khianat seperti mencabut dan membakar bendera parti politik serta kecurian dalam bilik gerakan parti politik.

Pegawai Perhubungan Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi PRK itu, ACP Khalil Ariffin berkata pihaknya turut menerima laporan mengenai penerbitan gambar individu yang telah diedit serta mengandungi kata-kata negatif terhadap sebuah parti politik dalam Facebook.

Mengulas lanjut, Khalil berkata kes kebakaran bendera dilaporkan berlaku di bilik gerakan sebuah parti politik di Parit 10, Sungai Panjang di sini, kira-kira 4 pagi tadi.

“Pengadu mendapati longgokan bendera parti telah dibakar dan sebahagian dinding bilik gerakan turut terbakar. Pengadu dan beberapa penduduk di kawasan itu telah memadamkan api tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khalil berkata laporan seterusnya membabitkan tindakan beberapa individu mencabut beberapa batang bendera berlambangkan sebuah parti politik di tepi Jalan Parit 5 menuju ke Bagan Sekinchan di sini, kira-kira 3 pagi tadi.

Sementara kes kecurian dalam bilik gerakan parti politik pula dilaporkan berlaku di Parit 9 Timur Jalan Baru di sini, kira-kira 9 pagi semalam, (6 Jun) apabila pengadu mendapati dompet mengandungi wang tunai RM800 dan kira-kira 12 kerusi plastik serta tiga meja plastik yang diletakkan dalam bilik gerakan itu telah hilang, katanya.

Khalil berkata bagi kesalahan membakar dan mencabut bendera, pihaknya melakukan siasatan mengikut Seksyen 427 dan 435 Kanun Keseksaan sementara bagi kes kecurian disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Kes penerbitan di Facebook pula dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

“Saya sekali lagi mengulangi ingatan supaya tidak melakukan provokasi ke atas pihak lawan, tidak membangkitkan isu sensitif seperti isu perkauman dan keagamaan ketika berkempen serta tidak merosakkan dan melakukan khianat ke atas harta awam atau pihak lain,” katanya.

Khalil dalam pada itu menasihati pihak-pihak yang berkempen supaya mengikut prosedur dan undang-undang yang telah ditetapkan serta tidak menghantar permohonan permit untuk mengadakan ceramah di saat-saat akhir.

Bagi yang dibenarkan berceramah, beliau menasihatkan supaya mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti mengadakan ceramah sehingga pukul 12 tengah malam sahaja.

Khalil turut mengalu-alukan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam di talian 03-32242222 atau di Facebook Rasmi Polis Selangor.

PRK itu menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Budiman Mohd Zohdi ditentang calon Pas yang juga AdunMeru, Dr Abdul Rani Osman serta calon Parti Amanah Negara (Amanah) Azhar Abdul Shukur, yang mewakili Pakatan Harapan.

PRK Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

TAGS