PRK Tanjong Datu bukan penanda aras sokongan pengundi pada BN dalam PRU

PRK Tanjong Datu bukan penanda aras sokongan pengundi pada BN dalam PRU

Pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi N03 Tanjong Datu dijangka tidak akan memberikan impak besar kepada Barisan Nasional (BN) sekalipun parti itu menang sebagai penanda aras sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kata Pakar Geostrategis Azmi Hassan.

Azmi Hassan

Pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi N03 Dun Tanjong Datu dijangka tidak akan memberikan impak besar kepada Barisan Nasional (BN) sekalipun parti itu menang sebagai penanda aras sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kata Pakar Geostrategis Azmi Hassan.

“Dari segi strategi impak PRK Tanjung Datu adalah terlalu kecil untuk mempengaruhi sentimen pengundi pilihan raya umum ke-14.

“Ini kerana Dun Tanjong Datu adalah kubu kuat PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) kemungkinan kemenangan besar yang diperoleh dalam PRN 2016 oleh BN akan juga diperoleh calon baharu dari parti itu,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

PRK Dun Tanjong Datu akan diadakan dalam tempoh 60 hari oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas Speaker Dewan Undangan Negeri memaklumkan secara rasmi berhubung kekosongan kerusi Dun Tanjong Datu, dijangka selepas tempoh berkabung berakhir, berikutan kematian penyandangannya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari lalu.

Azmi juga berpendapat masa yang sesuai kerajaan mengumumkan pilihan raya umum ketika sokongan rakyat memuncak kepada BN.

“Terlalu banyak faktor yang mempengaruhi dan menentukan sokongan pengundi kepada parti politik sama ada BN atau parti pembangkang.

“BN memerlukan beberapa peristiwa positif untuk tentukan tarikh PRU.

“Masa yang paling sesuai bagi BN adalah ketika sokongan memuncak kepada mereka dan sebaliknya kepada parti pembangkang,” ujarnya.

Antaranya peristiwa penting itu kata beliau lagi, kerajaan harus membuktikan secara sahih tiada salah laku dalam tadbir urus 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Umpamanya jika dibuktikan secara sahih tiada salah laku dalam tadbir urus 1MDB atau pun kedudukan ringgit kukuh mendadak berbanding US dolar maka ini dikatakan faktor yg boleh mendorang mempercepatkan PRU.

“Tetapi secara peribadi saya berpandangan PRU perlu diadakan secepat mungkin untuk lenyapkan ketidak tentuan suasana politik negara yang begitu panas ketika ini,” ujarnya.

Ditanya kemungkinan PRU boleh diadakan dalam tempoh 60 hari berikutan SPR akan melaksanakan PRK Tanjung Datu?

“PRK Tanjong Datu perlu diadakan disebabkan PRN-11 yang diadakan belum lagi sampai setahun.

“Untuk sekalikan PRK Tanjong Datu dengan PRU adalah sukar kerana PRK mesti dilaksanakan dalam tempoh 60 hari notis kekosongan oleh Speaker Dun sarawak disampaikan kepada Pengerusi SPR.

“Sementara Perdana Menteri pula punyai masa sehingga Ogos 2018 untuk adakan PRU.

“Lagipun PRK tidak memerlukan perbelanjaan besar seperti PRN Sarawak.

“Walaupun keputusan PRK ini nanti tidak akan mengubah senario politik Sarawak tetapi ia tetap perlu diadakan mengikut peruntukan SPR,” terangnya.

PRN Sarawak diadakan pada Mei 2016 lalu itu menyaksikan BN memenangi 55 kerusi, DAP (12), PKR (3) dan Bebas (1) daripada 82 kerusi dipertandingkan.

Sebagai rekod pada PRN-11 Adenan yang juga Pengerusi BN Sarawak dan Presiden PBB itu mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi.

Beliau mendapat 6,360 undi berbanding Jazolkipli yang meraih 468 undi dan hilang deposit.

Pada PRN-10,Adenan menang dengan majoriti 3,216 undi setelah menewaskan calon Pas, Nani Sahari dan calon Bebas, Gilbert Asson Kulong.

Adenan adalah penyandang kerusi Dun Tanjong Datu sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2006 dan sebelum ini Ahli Dun Muara Tuang sejak pilihan raya kecil pada Januari 1979.

Adenan,72, meninggal dunia di Pusat Jantung Hospital Besar Sarawak di Samarahan dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang,Petrajaya.

TAGS