Program Adun Muda Selangor asuh bakal pemimpin berkaliber

Program Adun Muda Selangor asuh bakal pemimpin berkaliber

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sekali lagi program Adun Muda Selangor akan diadakan khas bagi mahasiswa dan mahasiswi dari institut-institut pengajian tinggi untuk mengalami prosiding sebenar di Dewan Negeri Selangor sebagai seorang ahli Dewan Negeri.

Prosiding tersebut akan dipengerusikan Speaker, Hannah Yeoh dan Timbalan Speaker Shafie Ngah.

Melalui program ini, para peserta akan diberi pendedahan kepada prosedur dan proses penggubalan undang-undang di peringkat negeri.

Menurut laman web Dewan Negeri Selangor, mahasiswa dan mahasiswi akan diberi peluang untuk menyuarakan pendapat mereka tentang polisi-polisi kerajaan khususnya yang memberi impak kepada golongan anak muda.

Mereka juga akan diberi kesempatan untuk mencadangkan usul untuk memperkenalkan undang-undang baru di Selangor.

Program Adun Muda Selangor juga diharap dapat melahirkan bakal-bakal pemimpin yang berkaliber dan bertanggungjawab di samping memupuk sifat kepimpinan dan saling berkerjasama di kalangan peserta.

Ia juga bertujuan memberi kesedaran dan motivasi kepada golongan muda untuk menjadi penggubal undang-undang yang bertanggungjawab pada masa akan datang.

Program Adun Muda Selangor tahun ini akan berlangsung pada 8 Disember bertempat di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, Shah Alam.

Ianya terbuka kepada para pelajar institut pengajian tinggi awam, institut pengajian tinggi swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO), anak muda dan persatuan mahasiswa.

Hanya 56 orang anak muda akan dipilih untuk menyertai program ini dengan syarat-syarat penyertaan berumur 18 – 24 tahun; warganegara Malaysia; fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris; tinggal di Selangor atau pemohon ialah pelajar di institusi pengajian tinggi di Selangor.

Permohonan untuk sesi pertama Program Adun Muda Selangor 2016 dibuka mulai 7 November hingga 22 November ini.

Para peserta yang berjaya akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada 30 November.

Mereka yang berminat dijemput mengisi borang permohonan secara online di capaian dewan.selangor.gov.my/permohonan

TAGS