Projek ECRL paling mahal di dunia tampung hutang 1MDB?

Projek ECRL paling mahal di dunia tampung hutang 1MDB?

Projek East Coast Rail Line (ECRL) yang begitu mahal menimbulkan persoalan sama ada ia sengaja dilambung harga bagi menampung hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) ketika membahaskan Bajet 2017 pada sidang Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan telah berjaya mendapat pinjaman mudah sebanyak RM55 bilion daripada EXIM Bank China.

Sedangkan pada 26 Julai lalu, Sarawak Report  melaporkan bahawa kos sebenar projek hanyalah RM27 bilion tetapi dilambung harga bertujuan membayar hutang-hutang 1MDB.

“Laman web Sarawak Report juga memaparkan ‘leaked documents’ yang memaparkan anggaran kos projek dan lebih-lebih lagi memaparkan jadual bayaran hutang 1MDB. Ini menimbulkan krisis keyakinan tentang projek ECRL.

“Mengapakah rakyat Malaysia perlu menanggung projek yang begitu mahal? Mengapakah ia diberi kepada syarikat China tanpa tender terbuka? Mengapakah tanah akan diambil oleh kerajaan Malaysia kemudian diberi kepada pihak China? Mengapakah ada ‘leaked documents’ yang memaparkan jadual pembayaran kepada syarikat 1MDB dan hutang-hutang 1MDB?” soalnya.

Dakwaan beliau itu turut disokong dengan kehadiran Arul Kanda dan Riza Aziz bersama rombongan Perdana Menteri ke China yang menimbulkan spekulasi sama ada lawatan Perdana Menteri ke China adalah lawatan untuk “menyelamatkan 1MDB, soal Sim.

“Kita mohon jawapan yang terus terang daripada Perdana Menteri. ECRL mengikut pengumuman Bajet 2017 adalah sepanjang 600 km dari Kuala Lumpur ke Tumpat. Maka persoalan yang ditimbulkan adalah adakah kos itu munasabah?

“Kos pembinaan projek rel adalah berbeza-beza dan bergantung kepada pelbagai faktor antaranya geografi, pembinaan jambatan, pembinaan terowong, pengambilan tanah dan sebagainya.

“Jika dikaji secara kasar, RM55 bilion dibahagikan kepada 600km, kos per kilometer adalah bersamaan dengan RM92 juta,” ujarnya.

Beliau juga merujuk kepada dua  projek landasan keretapi Yichang-Wanzhou Railway yang disifatkan sebagai projek landasan keretapi paling sukar pernah dibina di China.

Ia juga disifatkan sebagai antara projek landasan keretapi yang paling mahal di dunia apabila landasan keretapi sepanjang 377 km itu membabitkan pembinaan jambatan dan terowong dengan panjang keseluruhan 288 km. 

“Qinghai-Tibet Railway juga merupakan landasan keretapi yang sangat susah dibina kerana ia berada di kawasan gunung dan cuaca yang terlampau sejuk.

“Jika kita bandingkan kos pembinaan YiChang-Wanzhou Railway dengan RM36 juta per kilometer, dan Qinghai-Tibet Railway yang berharga RM17 juta per kilometer, maka ECRL adalah 250% dan 540% lebih mahal daripada dua projek tersebut.

“Mengikut laporan YiChang-Wanzhou Railway adalah antara projek paling mahal di dunia kerana cabaran kejuruteraan projek tersebut. Maka adakah ECRL bakal menjadi projek termahal di dunia?” soalnya lagi.

TAGS