Projek hospital baharu di Perak: ‘Wow, kita hebat’

Projek hospital baharu di Perak: ‘Wow, kita hebat’

Sebagai rakyat Negeri Perak, saya turut merasa bangga kerana Negeri Perak bakal menjadi tuan rumah Temasya Sukan Malaysia (Sukma XIX) tahun 2018 kali ini selepas pernah menjadi tuan rumah pada tahun 1994 yang lalu dengan menduduki tangga yang ke-4 dengan 71 pingat keseluruhan.

Berdasarkan laporan media, perjalanan sebagai tuan rumah Sukma 2018 ini mencatatkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri Perak untuk menjadi hos terbaik yang akan bermula pada 12 hingga 22 September 2018 ini di kesemua 12 daerah di negeri ini.

Bermula pada 23 Jun 2014, Perak telah ditawarkan sebagai tuan rumah Sukma 2018 oleh Majlis Sukan Negara (MSN) setelah Negeri Johor memberikan laluan kepada negeri lain, turut membuat bidaan untuk menjadi tuan rumah ialah Wilayah Persekutuan.

Pada tahun yang sama juga iaitu semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak pada 10 Disember 2014 yang lalu, Perak telah mengesahkan membuat bidaan untuk menjadi tuan rumah Sukma 2018 iaitu dalam tempoh empat tahun sebelumnya.

Pada 14 Mei 2015 dalam tempoh lima bulan telah diumumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bahawa Perak dipilih sebagai tuan rumah Sukma 2018 dan pada 8 September 2016, Kerajaan Negeri mamaklumkan telah mewujudkan Jawatankuasa Khasnya.

Sebagai persediaan sebagai tuan rumah, pada 27 Mac 2017 Perak telah mengumumkan memerlukan sejumlah RM162 Juta bagi menambahbaik Venue Sukma 2018 walaupun sebelum itu, KBS telah mengumumkan pada 29 Mei 2016 peruntukan sejumlah RM152 Juta.

Semasa Perbentangan Bajet tahun 2018, telah dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah menerima peruntukan sejumlah RM160.9 Juta daripada Kerajaan Persekutuan dan Perak telah memperuntukan RM 10 Juta untuk penganjuran Sukma 2018 kali ini.

Tahniah dan terima kasih diucapkan khasnya kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri diatas semangat keperihatinan bagi membangunkan sukan dalam negara dan negeri ini serta sesuai dengan slogan Sukma 2018 pada kali ini ‘Wow! Kita Hebat’.

Dalam keperluan sukan ini nampaknya kesungguhan dan komitmen yang hebat diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, namun apa pula nasib tentang jaminan kesihatan rakyat dan dimanakah keutamaan yang diberikan atas semangat yang sama?

Mari pula kita hayati tentang nasib tiga cadangan projek Hospital baharu di Parit Buntar Daerah Kerian, Bandar Seri Iskandar Daerah Perak Tengah dan Daerah Kampar, adakah terdapat kesungguhan dan komitmen berkaitan jaminan kesihatan rakyat ini?

Direkodkan dalam laporan media selepas Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU 11) tahun 2004 dahulu apabila Barisan Nasional (BN) telah berjaya kembali menawan dua Parlimen iaitu Kawasan Parit Buntar dan juga Parit setelah tewas pada PRU10 tahun 1999.

Berdasarkan beberapa laporan media bahawa acara pecah tanah tapak projek Hospital Parit Buntar telah dibuat oleh Menteri Besar Negeri Perak ketika itu, Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohamad Tajol Rosli Tan Sri Mohamed Ghazali sekitar tahun 2006 selepas PRU ke-11.

Manakala cadangan bagi projek Hospital Bandar Seri Iskandar telah dimaklumkan oleh Ketua Umno Bahagian Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan yang telah menjelaskan bahawa ianya telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2007 lagi.

Turut dilaporkan lagi oleh media iaitu pada 26 Februari 2008 bahawa Bandar Seri Iskandar akan mendapat sebuah hospital baharu bernilai RM85 Juta diatas tanah seluas 12.1 hektar iaitu di bekas tapak Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Seri Iskandar.

Media pada 1 Mac 2008 pula melaporkan bahawa Hospital Parit Buntar tetap akan diteruskan dengan peruntukkan baru sebanyak RM112 Juta dan RM82 Juta untuk projek pembinaan Hospital Seri Iskandar iaitu seminggu sebelum PRU12 pada 8 Mac 2008.

Sekali lagi pada 1 September 2011 pula dilaporkan bahawa sebuah Hospital baharu akan dibina di Perak Tengah bernilai RM104 Juta dan pada 4 Oktober 2014, dimaklumkan bahawa projek hospital ini adalah kelulusan secara prinsip daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan bukannya dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Pada 18 Mei 2012 pula, berita gembira kepada penduduk Daerah Kampar apabila Menteri Kesihatan ketika itu Datuk Sri Liow Tiong Lai mengumumkan bahawa Kerajaan akan membina hospital baharu bagi menggantikan Hospital Kampar sediaada dengan peruntukan berjumlah RM150 Juta.

Turut dimaklumkan tapak projek itu telah dikenal pasti iaitu tanah seluas 104.26 ekar dan akan dibina di Tanjung Rengas, Bandar Baru Kampar yang terletak kira-kira lima kilometer dari hospital sedia ada yang boleh memuatkan 150 katil berdasarkan laporan media.

Pelbagai kenyataan dibuat bagi menafikan kelangsungan isu projek hospital baharu ini termasuklah pada 11 September 2012 dimaklumkan bahawa Hospital Parit Buntar telah dimasukkan di dalam Rolling Plan ketiga iaitu projek-projek RMK-10 setelah enam tahun berlalu.

Manakala pada 29 Julai 2017 baru-baru ini, dimaklumkan bahawa Hospital baharu Parit Buntar akan siap tahun 2021, di dalam RMK-11 yang boleh memuatkan 76 katil dan akan dibina di atas tanah seluas 21 hektar namun sehingga kini seluruh penduduk kawasan Parit Buntar masih menunggunya.

Manakala pada 8 Mac 2017 yang lalu pula, Menteri Besar Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa projek Hospital Seri Iskandar kini di peringkat reka bentuknya yang dijangka siap pada Mei 2017 telah melegakan penduduk Daerah Perak Tengah setelah sepuluh tahun lalu.

Bagi projek Hospital Kampar pula, pada 4 Ogos 2017 dimaklumkan bahawa projek ini akan diteruskan diatas tanah seluas 40 hektar di Kampar yang telah diluluskan pada 2012 dengan kerjasama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Nasib Hospital Kampar ini masih belum dapat dipastikan kerana Menteri Kesihatan dan Menteri Besar membisu serta tidak mahu membuat sebarang ulasan kerana tapak asalnya menimbulkan persoalan dan ini berlaku selepas enam tahun yang lalu, kesian penduduk Daerah Kampar.

Sebab timbulnya isu projek Hospital baharu ini ialah kerana ketiga-tiga Parlimen tersebut telah dan pernah tumbang ketangan Pakatan Pembangkang dahulu dan kini juga masih dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH) kecuali di Parlimen Parit yang dilihat juga hampir tumbang.

BN cuba menjadikan jaminan kesihatan rakyat ini sebagai bahan kempen terutamanya menjelang setiap kali pilihan raya yang bakal menjelang tidak lama lagi, sama-samalah kita berdoa agar hasrat dan cita-cita rakyat agar nasib mereka terus dibela terutamanya berkaitan jaminan kesihatan ini akan dapat dipenuhi.

Ianya adalah menjadi tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan namun jika apa yang berlaku adalah sebaliknya maka rakyat boleh menilainya sendiri dan membuat keputusan yang betul. Jom bina semula negara!

# Penulis adalah Setiausaha AMANAH Negeri Perak

CATEGORIES