PRS kemuka tujuh penyandang, empat muka baru, kata Adenan

PRS kemuka tujuh penyandang, empat muka baru, kata Adenan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan mengemukakan empat muka baharu dan mengekalkan tujuh penyandang sebagai calonnya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 akan datang.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem hari ini mengumumkan nama mereka pada sidang media, selepas menghadiri majlis bertemu rakyat bersama-sama anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dari Batu Kawa dan Batu Kitang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Turut hadir, Presiden PRS Tan Sri Dr James Jemut Masing, 67, yang akan mempertahankan kerusi Baleh, yang disandangnya.

Penyandang yang dinamakan semula ialah Datuk John Sikie Tayai, 66, bagi kerusi Kakus; Datuk Mong Dagang, 60, (Bukit Begunan); Liwan Lagang, 57, (Belaga); Malcom Mussen, 56, (Batang Ai); Alexander Vincent, 54, (Ngemah) dan Snowdan Lawan, 44, (Balai Ringin).

Muka baharu pula ialah Wilson Nyabong Ijang, 57, setiausaha politik kepada ketua menteri bagi kerusi Pelagus; ahli perniagaan Chuk Pai, 47, (Murum, kerusi baharu); jurutera Christopher Gira, 45, (Tamin) dan ahli perniagaan Majang Renggie, 57, (Samalaju, kerusi baharu).

Adenan berkata senarai lengkap kesemua 82 calon Barisan Nasional (BN) akan diumumkan pada masa yang sesuai.

“Saya sudah mengumumkan sebahagian besar calon PBB dan beberapa orang lagi daripada parti komponen lain dan mereka yang merupakan calon langsung BN,” katanya.

Mengenai masalah antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan parti serpihannya, Parti Rakyat Bersatu (UPP), beliau berkata “ia akan diselesaikan dengan sewajarnya sebelum hari penamaan calon”.

Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian baru-baru ini, berkata parti itu akan bertanding di kesemua 19 kerusi bandar yang menjadi tradisinya, dan tidak akan memberi sebarang laluan kepada UPP.

Setiausaha Agung UPP George Lo pula menegaskan parti itu tidak akan membenarkan mana-mana anggotanya yang dinamakan sebagai calon, keluar daripada parti itu untuk bertanding sebagai calon langsung BN, yang dijadikan sebagai pra-syarat berbuat demikian.

TAGS