Puisi merakyat terus ke jalan raya

Puisi merakyat terus ke jalan raya

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Melihat sekumpulan anak muda berpuisi di perkarangan kompleks beli-belah Sogo di ibu negara mungkin pengalaman kali pertama buat warga kota.

Siti Syakira SuhaimiItu yang dapat dilihat pada reaksi sebahagian pengunjung petang Sabtu lalu di tengah hiruk-pikuk dendangan lagu daripada pemuzik jalanan termasuk dari golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dari lokasi berhampiran.

Rata-rata pengunjung menyambut baik inisiatif kumpulan Kuliah Buku (Kubu) menganjurkan Puisi Satu Kota dengan tema bulan ini yang mengangkat kepengarangan Sasterawan Negara, Usman Awang (1929-2001).

Menurut pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Siti Syakira Suhaimi, 22, orang ramai berpeluang menjiwai keindahan makna karya kesusasteraan bangsa.

“Lazimnya, acara baca puisi ini diadakan di tempat tertutup tapi kali ini puisi merakyat terus ke jalan raya,” katanya yang merupakan penuntut Tahun 2 dalam jurusan Sains Politik.

Aizudin BaharomSementara itu, pekerja swasta Aizudin Baharom, 28, menyifatkan pendekatan Kubu yang merentas ideologi itu sememangnya menarik perhatian umum.

“Kita boleh lihat orang ramai paling tidak pun menoleh seketika bahkan ada yang berdiri mendengar peserta mendeklamasikan puisi.

“Penting sebenarnya untuk mesej keadilan dan kemanusiaan yang sarat dalam karya Usman Awang ini sentiasa diperdengarkan,” ujarnya lagi.

Hal sama juga disuarakan penuntut Unisel yang mahu dikenali sebagai Lina, 27.

Menurutnya, gejala korupsi yang berleluasa dalam negara ini mungkin dapat dicari penawarnya melalui acara seperti pembacaan puisi di tempat awam.

“Biar mesej kita dalam usaha menolak korupsi sentiasa melekat dalam pemikiran rakyat.

“Ada masanya proses pendidikan masyarakat seperti anjuran Kubu ini berkesan untuk jangka panjang selain pendekatan hukuman sedia ada,” tambah Lina lagi.

Allahyarham Usman Awang adalah diiktiraf sebagai Sasterawan Negara pada 1983 dan dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya pada tahun yang sama.

LinaAnak kelahiran Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor ini dikenali sebagai sasterawan yang berani menyatakan pendirian berhubung hak dan keadilan masyarakat.

Beliau menghasilkan lebih 200 puisi antaranya, “Gadis Kecil”, “Mahasiswa”, “Pak Utih” dan “Keranda 152” serta drama seperti “Muzika Uda dan Dara” dan “Matinya Seorang Pahlawan”.

TAGS