Pulang ke Tanjung Piai di hari raya

Pulang ke Tanjung Piai di hari raya

PULANG ke kampung berhari raya di Tanjung Piai, Pontian Johor, kawasan hujung paling selatan Benua Asia, bertemu sanak saudara, sahabat handai memang sangat mengesankan.

Salam erat, malah berpelukan dengan saudara mara dan kenalan memang sangat bermakna. Jamuan pelbagai hidangan di tengah sambutan hangat hari keluarga sebelah isteri saya memang sangat bermakna, lebih-lebih lagi dapat mengeratkan kembali hubungan kekeluargaan, saudara mara dan sahabat handai.

Orang lama memang di kampung sudah banyak yang meninggal dunia dan saya sempat menziarahi pusara bonda serta saudara mara yang diteduhi pohon kelapa dan pohon buah-buahan.

Menitis air mata mengenang hidup bersama bonda, kakak dan abang ketika masa kecil hingga remaja dan merantau ke Singapura.

Memang terkenangkan kehidupan getir sebagai keluarga nelayan miskin pada zaman itu hingga merantau ke Singapura ketika remaja – bekerja dan belajar di sana.

Tidak tertahan air mata mengalir mengenang derita ibu yang kehilangan suami (aruah ayah saya hilang di laut ketika menangkap ikan) ketika saya berumur enam bulan. Dengan itu saya tidak pernah ingat wajah ayah.

Aruah ibu berkongsi kemiskinan bersama tiga abang dan dua kakak, membesarkan dan menyekolahkan saya di kampung sebelum saya merantau ke Singapura.

Salahudin bersama keluarga dan rakan di hari raya di Tanjung Piai.Itulah sebahagian kehidupan saya yang sangat dramatik. Namun saya bersyukur, bahawa kehidupan ini – merantau, bekerja dan belajar – mengajar saya akan segalanya, akan erti derita hidup, ketabahan, perjuangan, kesabaran dan keazaman untuk meneruskan kehidupan ini.

Saya pulang dan menyertai Hari Keluarga isteri saya di mana sambutan sangat meriah. Di majlis itu saya membaca puisi ‘Tanjung Piai Hujung Benua’, sebuah catatan tempat saya dilahirkan, iaitu mengenai kawasaan yang unik ini, yang bersempadan dengan Singapura dan Indonesia.

Pada kesempatan pulang ke kampung itu, saya mengunjungi rumah sanak saudara dan rakan-rakan, termasuk mengunjung rumah adik Salahudin Ayub, Razali Ayub, diraikan dengan hidangan raya.

Razali Ayub adalah orang kuat Parti Amanah Negeri Tanjung Piai dan ahli jawatankuasa pimpinan Amanah Negeri Johor yang diketuai oleh Aminulhuda Hasan.

Ternyata Amanah Tanjung Piai sedang berkembang pesat di mana beberapa cawangan baru akan dibuka.

Sebelum Ramadzan dan ketika Ramadzan pelbagai program Amanah telah berlangsung dengan mendapat sambutan hangat dari penduduk tempatan.

Selepas hari raya ini, menurut Razali, banyak lagi program Amanah akan diadakan untuk memperkenalkan Amanah lebih luas lagi. Insya Allah, warna oren (warna Amanah) akan banyak kelihatan di kawasan paling selatan benua Asia ini, kata Razali.

Menurut beliau, Amanah nampaknya tidak sukar meluaskan pengaruhnya di Tanjung Piai kini. Abangnya, Salahudin Ayub begitu dikenal ramai bukan saja di kawasan ini, tetapi juga di mana-mana.

Salahudin turut pulang ke kampung pada raya itu. Beliau terharu ramainya rakan seagama yang datang bertamu ke rumahnya di Tanjung Piai itu.

Demikian juga rakan-rakan dari kaum Cina dan India yang memeriahkan lagi sambutan di rumahnya. Ibu Salahudin adalah keturunan Cina maka saudara maranya dari kaum tionghua juga tidak ketinggalan setiap tahun datang berkunjung dan suasana ini unik sekali.

Ramai yakin bahawa Amanah Tanjung Pai memiliki potensi besar untuk berkembang pesat hingga menjadi salah satu kawasan parlimen Amanah yang terkuat di negeri Johor.

TAGS