Pulangkan RM2.03 bilion wang derma, PM tidak lakukan rasuah – Peguam Negara

Pulangkan RM2.03 bilion wang derma, PM tidak lakukan rasuah – Peguam Negara

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata perdana menteri mengembalikan semula wang sejumlah US$620 juta (RM2.03 bilion) kepada keluarga diraja Arab Saudi dalam bulan Ogos 2013 kerana dana tersebut tidak diguna pakai.

“Berdasarkan keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan, saya berpuas hati bahawa tiada terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut,” katanya.

Berhubung perkara itu juga, Apandi berkata tiada keperluan bagi Malaysia membuat permintaan bantuan bersama dalam perkara jenayah kepada negara asing untuk melengkapkan siasatan memandangkan tidak terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion itu.

Berhubung dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International, Apandi berkata tiada terzahir apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan.

Mengenai Akta SPRM, beliau berkata tiada apa-apa keterangan yang menunjukkan perdana menteri menyalahgunakan kedudukannya semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang memberi kelulusan jaminan kepada wang pinjaman RM4 bilion oleh SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Keterangan juga menunjukkan bahawa proses kelulusan pinjaman Lembaga KWAP dan proses kelulusan jaminan pinjaman oleh mesyuarat Jemaah Menteri dibuat secara teratur, katanya.

“Tiada apa-apa keterangan yang menunjukkan perdana menteri meminta atau dijanjikan apa-apa suapan daripada mana-mana pihak sebelum, semasa, atau selepas keputusan Jemaah Menteri dibuat,” katanya.

Apandi berkata daripada keseluruhan keterangan yang melibatkan keputusan atau tindakan, tidak menggambarkan apa-apa konflik kepentingan oleh perdana menteri.

“Pihak SPRM sendiri mengakui bahawa berdasarkan hasil siasatan mereka, tiada keterangan daripada saksi-saksi yang boleh menunjukkan bahawa perdana menteri melakukan sebarang perbuatan rasuah,” katanya.

Mengenai Kanun Keseksaan, Apandi berkata tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan bahawa perdana menteri mengetahui “dan/atau” dimaklumkan terdapat kemasukan wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau.

Beliau berkata tiada juga keterangan menunjukkan bahawa perdana menteri memberi apa-apa kebenaran untuk pemindahan mana-mana wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau.

“Keterangan menunjukkan bahawa pada masa-masa yang material, perdana menteri mempercayai segala pembayaran yang dibuat oleh beliau adalah dengan menggunakan wang sumbangan keluarga diraja Arab Saudi yang dipindahkan ke dalam akaun-akaun beliau sebelum itu,” katanya.

TAGS