Pusat pemindahan banjir di Selangor ditutup, Kedah dan Perak masih beroperasi

Pusat pemindahan banjir di Selangor ditutup, Kedah dan Perak masih beroperasi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Semua pusat pemindahan banjir di Selangor telah ditutup sementara beberapa pusat pemindahan di Perak dan Kedah masih beroperasi setakat petang ini.

Di SELANGOR, tiga pusat pemindahan banjir yang dibuka sejak Ahad lalu ekoran fenomena air pasang besar yang mengakibatkan banjir di beberapa kawasan ditutup selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata pusat pemindahan banjir Dewan Kampung Tok Muda di Kapar, Klang yang sebelum ini menempatkan seramai 152 orang daripada 34 keluarga dan Balai Raya Lorong Hamzah 2, Kampung Tok Adam, Tanjong Karang yang menempatkan 15 orang daripada tiga keluarga ditutup pukul 2 petang tadi.

“Sementara sebuah lagi pusat pemindahan iaitu Dewan Orang Ramai Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, yang menempatkan 54 orang daripada 15 keluarga ditutup pada pukul 3 petang,” katanya.

Katanya, keputusan penutupan semua pusat pemindahan itu dibuat selepas perbincangan dibuat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di daerah-daerah yang terlibat.

Di PERAK, seramai 73 orang daripada 18 keluarga yang terjejas di Pantai Remis masih ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Panchor selepas kediaman mereka dinaiki air sejak semalam.

Bagaimanapun, tinjauan Bernama mendapati penduduk tersebut mengambil peluang cuaca panas terik dan keadaan banjir yang sudah surut untuk membersihkan rumah masing-masing.

Keadaan sama juga dilaporkan di Kampung Teluk Selendang, Teluk Intan yang mana penduduk terjejas mengambil peluang cuaca yang baik untuk membersihkan kediaman masing-masing.

Bagi daerah Bagan Datoh, Setiausaha Pengurusan Bencana daerah itu Zaidi Ahmad berkata setakat pukul 2 petang tadi jumlah penduduk terjejas kekal 17 daripada tiga keluarga.

Di Parit Buntar pula, Ketua Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kerian Kapten Rahmat Paimin berkata pusat pemindahan banjir di dewan orang ramai Kampung Nelayan, Kuala Kurau telah ditutup berikutan keadaan banjir yang telah surut.

Di KEDAH, jumlah mangsa yang dipindahkan di enam pusat pemindahan akibat fenomena air pasang besar di Daerah Kuala Muda kekal dengan jumlah 934 orang.

Pegawai Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Lt Muda Pertahanan Awam Azahar Ahmad berkata sehingga 4 petang tadi, seramai 267 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Seri Kuala, Dewan Kampung Paya (94 orang), Surau Kampung Sungai Yu (74).

Beliau berkata Rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Sungai Meriam pula menempatkan 262 orang, Dewan Telok Amboi (72) dan Pusat Komuniti Perkasa Negara (KOSPEN) Kampung Sungai Pial (165).

TAGS