Rafizi dibenar bela diri, seronok nak jumpa Najib dan Rosmah di mahkamah

Rafizi dibenar bela diri, seronok nak jumpa Najib dan Rosmah di mahkamah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli diberi kebenaran oleh mahkamah untuk membela diri dalam kes saman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak terhadapnya.

“Seronoknya nak berjumpa Najib Razak dan Datin Seri Rosmah dari dalam kandang (saksi),” kata Rafizi dalam satu kenyataannya semalam.

Keputusan ini katanya menjadikan cita-cita rakyat Malaysia mahu melihat Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor berada di dalam kandang saksi di mahkamah dimakbulkan juga.

“Mahkamah tinggi hari ini menolak permohonan Perdana Menteri dan isteri untuk membatalkan pembelaan “fair comments” saya.

“Mahkamah seterusnya mengarahkan supaya kes saman oleh Perdana Menteri itu dibicarakan di dalam mahkamah terbuka,” katanya.

Beliau seterusnya menjelaskan bagi mereka yang kurang biasa dengan undang-undang dan saman, apabila seseorang mengemukakan saman (plaintiff), dia akan membuat Penyataan Tuntutan menyenaraikan perkara apa yang hendak disaman dan kenapa perkara-perkara itu memalukannya.

Orang yang disaman (defendan) pula katanya, berhak memfailkan penyataan balas yang disebut Penyataan Pembelaan yang menerangkan kenapa apa yang diperkatakan itu bukan fitnah dan beliau berhak membuat komen tersebut.

Dalam kes saman Najib Razak keatasnya kata Rafizi, Najib dan isteri menyaman beliau.

“Kemudian beliau dan isteri memfailkan permohonan agar mahkamah membatalkan penyataan pembelaan saya supaya saya tidak dapat membela diri, mahkamah seterusnya mengarahkan supaya kes saman oleh Perdana Menteri itu dibicarakan di dalam mahkamah terbuka,” terangnya.

“Alhamdulillah hari ini pihak mahkamah mengarahkan supaya ia melalui perbicaraan penuh dan saya dibenarkan membela diri dan saya sungguh seronok nak berjumpa Najib Razak dan Datin Seri Rosmah dari dalam kandang (saksi),” katanya.

TAGS