Rafizi mahu adakan tunjuk perasaan desak Najib batalkan GST bekalan air

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli akan mengadakan tunjuk perasaan di kawasannya, sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, tidak membatalkan perintah mengutip cukai GST bagi bekalan air ke kediaman dan kemudahan rakyat miskin.

Beliau merujuk kepada satu surat bertarikh 13 September 2016 dari Jabatan Air Negeri Sabah kepada semua jurutera air bahagian mengenai pelaksanaan kutipan GST ke atas bekalan air terawat dan perkhidmatan membekalkan air, seperti yang saya sertakan bersama.

“Saya meminta supaya Datuk Seri Najib sebagai Menteri Kewangan mengesahkan bahawa bermula 1 September 2016 bekalan air ke pangsapuri, rumah ibadat, rumah kebajikan, perkhidmatan bekalan dan penyambungan air akan dikenakan GST.

“Bukan sahaja tindakan ini melampaui batas kerana ia mensasarkan kutipan GST dari golongan miskin dan kurang bernasib baik, pelaksanaan kutipan GST ke atas bekalan air ini dibuat secara senyap-senyap tanpa dihebahkan lebih awal kepada rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Naib Presiden PKR itu juga berkata, berkata tindakan mengutip cukai dari bekalan air ke rumah pangsa, masjid, rumah kebajikan dan perkhidmatan bekalan dan penyambungan air adalah satu perbuatan yang sangat tidak boleh diterima.

“Saya faham Datuk Seri Najib mungkin khuatir dengan kesuntukan wang di Perbendaharaan kerana kutipan GST bagi suku kedua tahun ini susut sebanyak 30 peratus.

“Saya ingin mengingatkan Datuk Seri Najib bahawa saya dan sahabat dari Pakatan Harapan telah memberi amaran sejak dari 2010 bahawa memperkenalkan GST akan membantutkan perbelanjaan rakyat yang seterusnya membawa kesan kepada pertumbuhan ekonomi dan keupayaan kerajaan mengutip cukai bagi menampung perbelanjaan negara,” ujarnya.

Justeru beliau mendesak supaya satu arahan dikeluarkan segera untuk membatalkan perintah mengutip cukai GST bagi bekalan air ke kediaman dan kemudahan rakyat miskin ini.

“Sekiranya kedua-dua ini tidak menerima apa-apa maklumbalas dalam masa terdekat, saya akan mengatur supaya tunjuk perasaan mendesak membatalkan GST ke atas bekalan air di rumah pangsa, masjid, rumah kebajikan dan lain-lain diadakan di rumah-rumah pangsa bermula dengan kawasan saya di Pandan yang mempunyai banyak rumah pangsa,” ujarnya.

Sepucuk surat bertarikh 13 September 2016 dari Jabatan Air Negeri Sabah kepada semua jurutera air bahagian mengenai pelaksanaan kutipan GST ke atas bekalan air terawat dan perkhidmatan membekalkan air di negeri itu.

TAGS