Rafizi mahu Hadi jawab tentang kerjasama Umno

Rafizi mahu Hadi jawab tentang kerjasama Umno

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli secara terbuka mempersoal sikap kepimpinan Pas yang mengambil pendekatan berbaik-baik dengan Umno ketika rakyat dibebani dengan pelbagai masalah ekonomi.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Rafizi Ramli Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli secara terbuka mempersoal sikap kepimpinan Pas yang mengambil pendekatan berbaik-baik dengan Umno ketika rakyat dibebani dengan pelbagai masalah ekonomi.

Berucap pada majlis makan malam anjuran Amanah Kelantan di Dewan Perniagaan Cina negeri di Kota Bharu, beliau berkata, soal kerjasama seperti dianjurkan Islam sebenarnya tidak termasuk dalam hal yang merosakkan.

“Saya nak Datuk Seri Hadi (Presiden Pas) jawab kalau Najib terus buat hutang, menyusahkan rakyat, menyebabkan harga barang naik, orang tiada kerja, cukai dan lain-lain, adakah terus membantu Datuk Seri Najib ataupun menasihati atau bekerjasama dalam hal-hal yang nampaknya baik dibawa oleh Umno, tidakkah itu perlu dibandingkan dengan kerosakan dan bahaya jauh lebih besar yang terhasil daripada kerjasama tersebut?

“Betul, Allah ingatkan kita bantu-membantu dalam perkara yang baik, tetapi dalam ayat sama kita juga diingatkan jangan kita bantu-membantu perkara yang tidak baik,” tegasnya kelmarin.

Sekali lagi menyebut nama Hadi yang juga Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu, Rafizi mengingatkan semua parti politik tentang pentingnya keutamaan diberi kepada usaha menjatuhkan kepimpinan Najib Razak sebelum beban rakyat semakin bertambah.

“Dalam soal kita ada Perdana Menteri seperti Datuk Seri Najib yang hilang duit tiap-tiap hari ini, saya tanya pada semua, baik sama ada pimpinan Amanah, PKR, DAP, Bersatu bahkan Pas, yang mana satu keutamaan paling besar untuk kita mencari keredaan Allah?

“Hentikan mudarat yang paling besar itu atau terus biar kekal dia lebih lama di Putrajaya, kerana Datuk Seri Hadi kalau (biar) 10 tahun lagi, hutang kita melampau, ekonomi kita teruk, orang islam jadi mangsa dan hamba kepaa riba dan pinjaman.

“Kalau nak beli kereta kena buat pinjaman sampai 15 tahun, sampai bunga riba itu sama dengan riba pokok, tidakkah kita juga menangggung dosa?” bidas Rafizi lagi.

Untuk rekod, Hadi sejak tahun lalu bersedia untuk sepentas dengan Najib yang juga Presiden Umno walaupun Ahli Parlimen Marang itu umum diketahui kerap ponteng dalam perbahasan sidang Dewan Rakyat.

Sikap Hadi yang dianggap pihak media pro Umno sebagai simbol perpaduan antara dua parti itu dapat dilihat apabila hadir pada Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 dan Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya awal bulan ini.

TAGS