Rafizi nafi orang Melayu tidak hirau rasuah

Rafizi nafi orang Melayu tidak hirau rasuah

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bertegas orang Melayu sebenarnya peka dengan isu rasuah tidak seperti yang dituduh sesetengah pihak.

Beberapa kali mengecam pihak yang beranggapan sedemikian, beliau berkongsikan cerita tentang satu rompakan bank di Kelantan lebih 50 tahun lalu.

“Orang Melayu tidak kisah rasuah? Memang celaka kalau kata orang Melayu tidak peduli dengan rasuah.

“Tahun 60-an, ada rompakan bank di Kelantan, saya diberitahu keluarga besar di Kota Bharu. Lepas sebulan, semua peniaga Cina di Kota Bharu ‘complain’ bisnes teruk. Orang tidak keluar membeli.

“Sebabnya orang Melayu di Kota Bharu ketika itu takut kalau beli, orang boleh tuduh dia (rompak bank). Ini bukti orang kita dulu malu bila dituduh merompak,” katanya.

Berceramah dalam siri Jelajah Bina Semula Negara di Kampung Permatang Pasir, Bagan Samak, Dun Bandar Baharu di Kedah baru-baru ini, Rafizi berkata, keadaan pada masa ini pula berbeza.

“Zaman sekarang, bila rompak, dia kata derma. Beli kondominium sampai saya diberitahu tokoh korporat wanita yang dia sudah benci duduk dengan Wanita Umno yang berbincang tentang beli kondo mana di London.

“Bila saya kembali tahun 2009, saya nak buktikan celakanya yang kata orang Melayu itu rasuah. Tidak betul. Saya sendiri cukup anti dapat duit (rasuah) daripada orang lain,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, pendedahannya tentang skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang kemudian dikenali dengan sindiran ‘lembu duduk dalam kondo’ turut diketahui masyarakat kampung.

“Orang kampung tahu sebab susahnya nak dapat seekor baka anak lembu. RM250 juta wang yang sepatutnya bagi pada Melayu, tiba-tiba diberi kepada anak beranak menteri dan beli kondo.

“Lama-lama orang kata yang duduk dalam kondo itulah lembu,” tempelaknya merujuk kepada skandal yang membabitkan keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika menjadi Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat ekoran pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Analisis audit mendapati objektif projek ternakan lembu itu belum dicapai sepenuhnya disebabkan pelbagai faktor antaranya sasaran pengeluaran sebanyak 38,600 ekor lembu pada 2010.

Untuk rekod, tender projek NFC yang mendapat pinjaman mudah RM250 juta itu dimenangi keluarga Shahrizat dengan Pengerusi Eksekutif NFC adalah suaminya iaitu Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail manakala anak mereka, Wan Izran Mohamad Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif NFC.

Rafizi selanjutnya mengimbas tentang reaksi awal rata-rata orang Melayu berhubung pembongkaran penyelewengan mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Bila mula-mula cerita tentang 1MDB, orang Melayu tidak faham. Saya tidak salahkan orang Melayu tidak faham. Sebab, zaman dulu tiada harga minyak naik tiap-tiap minggu.

“Sekarang nak potong rambut pun kena bayar GST. Sebab itu, walaupun mula-mula kita cerita tentang 1MDB orang tidak faham, waktu itu wang yangt telah dirembat tidak sampai kesannya kepada rakyat.

“Masih di peringkat pusing modal. Tapi kemudiannya menggagau cari duit. Dia ambil wang kata nak melabur. Tapi wang itu melebur untuk dirinya. Lepas ambil wang pertama, sedar-sedar duit itu hilang,” bidasnya lagi.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS