Rahman sahkan MO1 merujuk kepada Najib, lapor BBC

Rahman sahkan MO1 merujuk kepada Najib, lapor BBC

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Kerajaan secara rasmi mengesahkan bahawa Malaysia Official 1 (MO1) yang dirujuk sebanyak 36 kali dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat berkaitan penyelewengan dana 1MDB adalah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Saya telah kata secara terbuka. Jelas sekali jika kamu membaca dokumen berkenaan, ia adalah perdana menteri,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

“Tetapi saya juga berkata, mengapa DoJ tidak menamakannya dengan nama yang betul. Ini kerana beliau bukan sebahagian daripada siasatan ini.

“Ada orang lain yang dinamakan dan Jabatan Keadilan akan membawanya ke mahkamah dan mahkamah akan membuat keputusan,” katanya seperti dipetik BBC dan dilapor Malaysikini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, bagaimanapun berpendapat bahawa Najib tidak perlu bertanggungjawab ke atas kegagalan dana pelaburan negara itu.

“Beliau telah bertanggungjawab, dengan melantik pasukan baru di 1MDB.

“Tetapi hanya kerana sebilangan kecil NGO dan pembangkang yang mendesak supaya beliau mengosongkan kerusinya, beliau tidak seharusnya berbuat demikian. Itu adalah melampau,” katanyayang juga pengarah komunikasi strategik BN.

Adalah dipercayai bahawa Najib adalah MO1 tetapi kerajaan tidak pernah mengesahkan identiti itu sejak DoJ memfailkan tuntutan mahkamah pada 20 Julai lalu.

Pada Sabtu lalu, sekumpulan gabungan mahasiswa telah mengadakan protes #TangkapMO1 di ibu negara sebagai desakan kepada kerajaan mendedahkan inividu yang dimaksudkan sebagai ‘Malaysian Official 1″ oleh DoJ.

TAGS