Rai Maria bebas, tuntut Mansuh Sosma dalam hujan lebat

Rai Maria bebas, tuntut Mansuh Sosma dalam hujan lebat

Walaupun hujan agak lebat, tetapi kemunculan Maria Chin untuk berucap selepas dibebaskan mendapat perhatian dan tepukan orang ramai yang berpayung mahupun berbaju hujan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Maria bersama-sama rakyat di Dataran Merdeka malam tadi selepas dibebaskan pada siangnya

Dataran Merdeka malam tadi hangat dengan ratusan penyokong Bersih bersolidariti meraikan pembebasan Maria Chin Abdullah.

Walaupun hujan agak lebat, tetapi kemunculan Pengerusi Bersih itu untuk berucap mendapat perhatian dan tepukan orang ramai yang berpayung mahupun berbaju hujan.

“Saya dibebaskan kerana anda semua. Rakyat berani kerana berhimpun pada 19 November.

“Saya harap keberanian ini diteruskan. Saya harap anda meneruskan sokongan kepada tuntutan Bersih,” katanya diiringi tepukan gemuruh.

Maria berucap dengan penuh semangat

Beliau berkata, rakyat sebenarnya mahu mereformasikan sistem pilihan raya di negara ini supaya adil dan bersih.

“Itulah tuntutan seluruh rakyat Malaysia tapi saya ditahan dikaitkan dengan Sosma.

“Sosma adakah akta drakonian. Kita hendaklah memansuhkan Sosma yang menjejaskan hak rakyat,” tegasnya.

Mengulas apa yang dialami sebelum ini, beliau menyifatkan penahanan ke atasnya bercanggah dengan standard antarabangsa.

“Dua hari saya tiada akses. Tiap-tiap hari saya kena soal siasat. Berulang-ulang soalan,” luahnya.

Walhal, tegas beliau, tidak berlaku rusuhan ketika perhimpunan Bersih 5 yang berbeza dengan aksi geng baju merah.

“Kita bukan geng baju merah. Kita bukan bawa keganasan. Perhimpunan kita dari Bersih 2 sampai 5 adalah aman.

“Kita mahu perubahan lebih baik untuk masyarakat dan negara,” ujarnya.

Mengulas dakwaan yang mengaitkan Bersih dengan dana dari Soros, Maria menafikan tuduhan itu.

“Kita satu sen pun tak ambil. (Maklumat kewangan Bersih) dipamerkan dalam laman web tapi mereka tak percaya.

“Respon-respon daripada Bersih di luar negara adalah inisiatif rakyat Msia yang percaya pada tuntutan Bersih.

Ucapan Maria ketika hujan agak lebat itu turut disaksikan Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan), Dr Siti Mariah dan Sasterawan Negara, A. Samad Said.

Himpunan diakhiri pada pukul 9.30 malam dengan nyanyian lagu Negaraku. Sebelum bersurai, orang ramai dan sukarelawan dilihat mengutip sampah di lokasi Dataran Merdeka itu.

TAGS