Rakyat ada kuasa jatuhkan pemimpin rasuah, kata mahasiswa

Rakyat ada kuasa jatuhkan pemimpin rasuah, kata mahasiswa

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perhimpunan Mansuhkan GST dan Undur Najib di ibu negara baru-baru ini dilihat penting bagi menunjukan kuasa sebenar yang dimiliki rakyat termasuk terhadap mana-mana bakal pemimpin.

Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia, Azzan Aznan berkata, tindakan paling mendesak pada masa ini ialah menjatuhkan Perdana Menteri Mohd Najib Razak yang telah banyak terpalit dengan pelbagai skandal kewangan.

“Pada saya, paling mustahak Najib diturunkan terlebih dahulu walau apa dan siapapun yang bersama. Kalau kamu rasuah dan seleweng, rakyat ada kuasa untuk menggulingkan kamu,” tegasnya ketika ditemui Malaysia Dateline selepas himpunan membantah GST di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Mengulas tuduhan kononnya himpunan yang disertai Mahathir itu hanya akan memulihkan Umno menjelang pilihan raya umum (PRU) beliau berkata, tanggapan tersebut seolah-olah hanya membiarkan kerosakan dari segi tata kelola di negara ini menjadi bertambah buruk.

“Masing-masing ada pandangan. Terpulanglah. PRU nanti Umno boleh menang kalau Najib berjaya disingkirkan, itu hanya spekulatif. Walaupun saya sendiri ‘gatal’ mata lihat Mahathir turut serta sepentas bersama pimpinan PH (Pakatan Harapan) tapi mudarat paling besar adalah Najib. Kita tiada pilihan selain hanya menumbangkan Najib,” tegasnya lagi.

Beliau berkata, sejarah perjuangan rakyat di sesebuah negara banyak mempengaruhi semangat generasi terkemudian.

“Di Indonesia misalnya, memori dan semangat perjuangan pada masa lepas banyak membentuk pemikiran dan tekad rakyat mereka pada masa sekarang.

“Saya percaya Suharto pada 1998 tidak akan jatuh kalau rakyat Indonesia tidak menjatuhkan Sukarno pada 1965 kerana rakyat mereka ketika itu memang ada semangat untuk berubah dan semangat tersebut berterusan sehingga pemilu yang terkini.

“Kenalan saya di Indonesia berkata, antara sebab mengapa mereka menolak Probowo kerana penat-penat mereka menjatuhkan Suharto, kenapa mahu ambil menantunya pula,” ujar Azzan.

Walau bagaimanapun, tambahnya, pengalaman menurunkan pemimpin melalui demonstrasi belum pernah berlaku di Malaysia.

“Itulah sebabnya penting himpunan hari ini (2 April) bahkan siri untuk rasa rakyat pada masa akan datang,” katanya yang juga penuntut undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu lagi.

TAGS