Rakyat  dan pengundi akan menilai kemampuan saya, kata Mukhriz

Rakyat dan pengundi akan menilai kemampuan saya, kata Mukhriz

Datuk Seri Mukhriz Mahathir mahu menyerahkan kepada rakyat dan pengundi  untuk menilai prestasi dan keberkesanan hasil kerjanya bersama kepimpinan parti di seluruh negeri sejak hari pertama Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan negeri Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir Datuk Seri Mukhriz Mahathir mahu menyerahkan kepada rakyat untuk menilai prestasi dan keberkesanan hasil kerjanya bersama kepimpinan parti di seluruh negeri sejak hari pertama Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan negeri Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Beliau berkata, kedudukannya sebagai Menteri Besar Kedah dibuat atas mandat dan kepercayaan rakyat serta mendapat perkenan Sultan Kedah, hasil cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh sebahagian daripada kepimpinan Umno Negeri yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Alor Setar petang tadi.

“Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, saya memegang amanah untuk berkhidmat dengan sebaiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat. Rakyat dan pengundi jua yang akan menilai kemampuan pentadbiran saya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Petang tadi, seramai 14 Ketua Umno Bahagian negeri itu dilaporkan menyatakan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz yang disifatkan gagal dalam mentadbir parti dan juga negeri terbabit.

Ahmad Bashah yang mengetuai sidang media berhubung perkara itu merayu kepada Perdana Menteri membuat perubahan segera terhadap kepimpinan tertinggi parti negeri itu dan jawatan Menteri Besar Kedah yang dipegang Mukhriz.

Beliau sebelum itu mengadakan perjumpaan tertutup dengan hampir semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen negeri itu daripada Umno, di sebuah hotel di Alor Setar.

Sementara itu, lebih 1,000 orang penyokong Mukhriz mula berkumpul di hadapan Bangunan Umno Kedah sejak pukul 8 malam tadi bagi menyatakan sokongan mereka.

Mukhriz yang dijangka tiba untuk menghadiri mesyuarat Umno Bahagian Jerlun yang diadakan di bangunan itu, bagaimanapun dikatakan gagal berbuat demikian.

TAGS