Rakyat kecam dakwaan Najib pendapatan naik 73 peratus

Rakyat kecam dakwaan Najib pendapatan naik 73 peratus

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Orang ramai anggap dakwaan Najib jauh tersasar daripada realiti pendapatan yang mereka perolehi.

Dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya pendapatan kasar bulanan isi rumah Bumiputera meningkat sejak pentadbirannya pada 2009 mendapat kecaman orang ramai.

Rata-rata komentar yang ditinggalkan pengguna Facebook milik Presiden Umno itu mempertikai kesahihan angka yang dikemukakan selain berkongsi realiti pendapatan mereka yang jauh lebih rendah.

Terdahulu, Najib dalam status Facebooknya memberitahu berlaku kenaikan pendapatan kasar bulanan isi rumah Bumiputera yang apabila dikira mencecah 73 peratus.

“Pendapatan kasar bulanan isi rumah Bumiputera meningkat daripada RM3,624 pada tahun 2009 sewaktu saya mula memimpin, kepada RM6,267 tahun lalu,” jelasnya.

Menurut Sabri Sudin, angka itu seperti tidak menyeluruh dan merangkumi Bumiputera yang terlibat dalam sektor swasta.

“Adakah itu pendapatan isi rumah penjawat awam?” soalnya pada status Najib yang dimuat naik pada 2 Disember lalu.

Kenyataan Najib yang turut melampirkan pautan kenyataannya bertajuk ‘Kejayaan bangsaku, kejayaan negaraku’ itu juga menerima sindiran antaranya menganggap beliau ‘bergurau’ dan ‘cakap ikut sedap mulut’.

Bagi pengguna Facebook Yusri Sapieh pula, faktor jurang pendapatan yang tinggi mempengaruhi angka yang dikemukakan Najib itu.

“Walau gaji di bawah RM4,000 ramai lagi di Malaysia tapi jurang dengan gaji berbelas ribu (ringgit) banyak juga. Ditambah dan dipuratakan dapatlah RM6,000.

“Walhal, hakikat masih ramai gaji kecil dan tidak mampu beli rumah,” ujarnya.

Sementara itu, Khairil Mohd Nazri berpendapat “perbelanjaan kasar” yang lebih ketara berlaku serta turut sama diakui Liniyana Mamor yang menulis, “Jangan lupa buat perbandingan harga barang dengan gaji”.

Rajali Uman pula menganggap peningkatan pendapatan kasar bulanan isi rumah yang disebut Najib tidak relevan dengan realiti kenaikan gaji.

“Setahun gaji naik bawah RM100. Bila masa nak jejak RM6,000,” bidasnya.

Kenyataan Najib berkenaan kedudukan pendapatan Bumiputera menjelang Perhimpunan Agung Umno itu turut mengundang reaksi masyarakat bukan Bumiputera.

“Pendapatan kasar bukan bumiputera juga bertambah dengan membuat dua atau tiga kerja. Mencari duit siang malam tanpa rehat,” kata Sathiya Seelan.

Setakat hari ini, status Najib di Facebook itu dihujani lebih 3,900 komentar dengan 785 perkongsian.

Kritikan termasuklah daripada pekerja kilang bergaji RM1,000 sebulan serta pengawal keselamatan bank yang hanya berpendapatan RM1,400 tetapi menyara empat orang anak.

9.8
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 9.7
CATEGORIES
TAGS