Syor persempadanan p’raya: Rakyat Kluang digesa hadir ke himpunan Bersih 5

Syor persempadanan p’raya: Rakyat Kluang digesa hadir ke himpunan Bersih 5

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pengerak Konvoi Bersih 5 Kluang-Batu Pahat Sheikh Omar Ali menggesa rakyat menyertai Bersih 5 pada 19 November depan ekoran syor persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melibatkan Parlimen dan Dewan Undangaan Negeri (Dun) di daerah itu menepati perjuangan Bersih.

Sheikh Omar yang juga Penolong Publisiti DAP Johor berkata, kawasan yang melibatkan P152 Parlimen Kluang, N28 Dun Mengkibol dan N29 Dun Mahkota adalah bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada Seksyen 2(d) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Perseketuan bahawa;

“Perhatian patutlah diberikan kepada kesulitan yang akan timbul dengan perubahan bahagian-bahagian pilihan raya, dan kepada pemeliharaan hubungan tempatan.”

“Dalam hal ini, syor SPR untuk memasukkan dua Daerah Mengundi (DM) dari N29 Dun Mahkota iaitu DM Kampong Paya Timor dan Kampung Paya Barat ke dalam N28 Dun Mengkibol akan memecahbelahkan komuniti yang mempunyai hubungan tempatan dan kepentingan bersama dengan DM bersebelahannya iaitu DM Indah Jaya dan DM Sri Tengah yang masih kekal dalam sempadan mengundi N29 Dun Mahkota.

Sheikh Omar Ali“Selain itu, DM Kampong Melayu Timor yang mempunyai hubungan tempatan dan kepentingan bersama dengan DM Kampong Melayu Timor II juga tidak sewajarnya disyorkan oleh SPR untuk dipindah masuk ke sempadan pilihan raya N28 Dun Mengkibol.

“Pemecahbelahan komuniti-komuniti tempatan ini secara langsung melanggar kehendak ‘pemeliharaan hubungan tempatan’ dalam Seksyen 2(d) Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu juga, DM Padang Tembak di seberang Jalan Mersing yang pada asalnya berada dalam N28 Dun Mengkibol tidak sewajar dibawa masuk ke dalam sempadan pilihan raya N29 Dun Mahkota.

Ia bersalahan dengan prinsip yang dinyatakan dalam Sub-Seksyen 2(d) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Perseketuan yang menyatakan;

“perhatian patutlah diberikan kepada kesulitan yang akan timbul dengan perubahan bahagian-bahagian pilihan raya, dan kepada pemeliharaan hubungan tempatan.”

Komuniti tempatan dari DM Padang Tembak ujarnya lagi, tidak memiliki kepentingan bersama yang menjadi asas hubungan tempatan dengan komuniti dari N29 DUN Mahkota apabila secara jelas kedua-dua komuniti ini dipisahkan oleh jalan besar utama Kluang-Mersing.

“Contoh-contoh diatas memperlihatkan Pilihan Raya ke-14 yang bakal diadakan bakal berhadapan muslihat licik serta manipulasi sistem bagi kepentingan sebelah pihak,” ujarnya.

Justeru, katanya lagi, penyertaan rakyat Kluang ke himpunan 19 November 2016 nanti adalah amat signifikan, sesuai dengan tuntutan Bersih 5 yang antaranya ialah menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil.

Beliau juga memaklumkan sepanjang konvoi Bersih 5 dari Kluang ke Batu Pahat yang berlansung pada Sabtu lalu, bagi zon Selatan.

Perlepasan konvoi telah berlangsung dari lokasi dataran letak kenderaan Kluang Railcoffee di Pusat Perniagaan Tasek sekitar jam 9.30 pagi. Ia telah turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan ADUN Mengkibol Tan Hong Pin.

Lebih kurang 50 kenderaan turut serta. Jumlah kenderaan beransur-ansur meningkat dengan penyertaan peserta-peserta konvoi dari setiap check point yang dilalui termasuklah Ayer Hitam, Yong Peng, Parit Yaani, Parit Raja dan Senggarang.

Jumlah keseluruhan konvoi mencecah 80 buah kenderaan semasa di check point terakhir iaitu di Dataran Penggaram, Batu Pahat. Di situ, gimik penyerahan Obor Bersih 5 telah dijalankan.

“Selaku penggerak kepada konvoi ini, saya bersama-sama rakan-rakan jawatankuasa kerja Bersih, parti Amanah, PKR, dan Bersatu Kluang merakamkan sekalung tahniah buat seluruh rakyat Kluang yang telah turut serta dalam menjayakan konvoi ini.

“Tiada langsung penyertaan dari parti Pas. Saya jangkakan kerana pendokong-pendokong Pas kawasan Kluang tidak menerima ‘lampu hijau’ dari pimpinan mereka.

“Ia selari dengan pendirian Presiden Pas yang memutuskan parti itu tidak akan menyertai himpunan Bersih 5 bahkan mengaitkan himpunan pada 19 November 2016 itu nanti dengan arab spring di Timur Tengah.

“saya anggap konvoi Kluang-Batu Pahat ini amat berjaya. Penyertaan rakyat dari pelbagai latar blakang bangsa menunjukkan bahawa rakyat Kluang bersedia untuk menyokong dan melibatkan diri dengan perjuangan Bersih 5.

“Bagi saya ada asas yang kukuh untuk rakyat Kluang hadir ke perhmpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur pada 19 November ini.” ujarnya.

TAGS