Rakyat Malaysia dilarang kahwin di Makkah, buat umrah DIY

Rakyat Malaysia dilarang kahwin di Makkah, buat umrah DIY

“Perkahwinan rakyat Malaysia di Arab Saudi adalah dilarang kerana ia melanggar undang-undang negara tersebut,” kata Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata perkahwinan di Arab Saudi akan menimbulkan masalah buat pasangan tersebut ketika mereka mahu mendaftarkan perkahwinan di Malaysia kerana perkahwinan mereka tidak mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi.

Perkahwinan hanya dibenarkan kepada individu bukan rakyat Arab Saudi yang menetap di sana yang memiliki kad Iqama, katanya kepada media di Putrajaya, semalam.

Beliau menghadiri Mesyuarat Kawal Selia Umrah Bil 4/2017 dan pembentangan Jakim mengenai Isu Perkahwinan Rakyat Malaysia di Arab Saudi dan Penambahbaikan Dalam Pengurusan Jemaah Umrah di Lapangan Terbang Utama Negara oleh Malaysia Airports Holdings Bhd.

Mas Ermieyati berkata perkahwinan di Arab Saudi kini menjadi trend dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata kementeriannya akan memberi kesedaran kepada jemaah umrah dan haji serta rakyat Malaysia lain untuk tidak melaksanakan upacara akad nikah di Makkah.

Katanya perkara yang menyalahi peraturan Arab Saudi itu telah dimaklumkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semasa majlis pembentangan mereka.

“Selepas ini pihak kementerian akan mengambil tanggungjawab untuk membendung trend ini dengan memaklumkan mengenai larangan tersebut kepada jemaah atau rakyat Malaysia yang berniat untuk menikah di sana,” katanya.

{loadposition myposition}

Mas Ermieyati turut melahirkan kebimbangan mengenai trend melaksanakan umrah secara do-it-yourself (DIY) yang semakin meningkat.

“Umrah DIY adalah menyalahi undang-undang kerajaan Arab Saudi dan perkara ini sedang diteliti di peringkat kementerian kerana umrah cara sebegini mendatangkan risiko yang tinggi kepada jemaah sekalipun kosnya adalah rendah,” katanya.

Sementara itu beliau berkata kerajaan akan memperkenalkan lesen khusus bagi syarikat yang menjalankan pakej umrah dan ziarah yang dikenali sebagai Lesen Khas Umrah (LUK) pada 3 Oktober ini.

“Pada masa ini kami dalam peringkat akhir persiapan lesen ini termasuklah pengenalan kepada sistem pengurusan jemaah umrah yang dikenali sebagai Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS),” katanya.

Beliau berkata dengan pengenalan LUK, ia dapat memperkemaskan industri umrah dan haji di Malaysia dan menutup ruang operasi syarikat tanpa lesen dan umrah DIY daripada berlarutan.

CATEGORIES
TAGS