Rakyat menilai Pakatan Harapan urus perselisihan pendapat

Rakyat menilai Pakatan Harapan urus perselisihan pendapat

Rakyat bukannya terlalu naïf untuk menganggap Pakatan Harapan tidak boleh berselisih pendapat tetapi mereka mahu melihat sejauhmana perbezaan pandangan diuruskan, tegas Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Ahmad Syukri Che Ab Razab.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Syukri Che Ab RazabRakyat bukannya terlalu naïf untuk menganggap Pakatan Harapan tidak boleh berselisih pendapat tetapi mereka mahu melihat sejauhmana perbezaan pandangan diuruskan, tegas Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Ahmad Syukri Che Ab Razab.

 Menurutnya, pelbagai isu ekonomi dan penyelewengan antaranya seperti kejatuhan nilai ringgit, hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan skandal Tabung Haji tidak memberi kelebihan kepada pihak pembangkang.

“Apakah kesedaran rakyat ini bonus untuk pembangkang? Saya kira tidak kerana bonus merupakan hadiah atas kerja kuat dan konsisten, sedangkan jika disoroti kisah empat tahun ke belakang, pakatan pembangkang diselangi dengan pelbagai polemik inter-pakatan sehingga menatijahkan terkuburnya Pakatan Rakyat.

“Amat menyedihkan jika rakyat pada PRU 14 (pilihan raya umum ke-14) mengundi pembangkang kerana terpaksa, akibat tersepit dan tidak tahan lagi dengan kebobrokan pemerintahan Umno-BN, bukannya kerana mereka senang dan yakin dengan pembawaan pakatan pembangkang,” jelasnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas situasi semasa yang sedang melanda politik Malaysia khususnya mengenai pertelingkahan kecil antara Keadilan dan DAP, beliau berkata, isu berkenaan perlu ditangani sebelum menjejaskan kepentingan rakyat.

“Saya kira konflik ini lebih penting untuk disantuni dan diselesaikan segera oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan agar ianya tidak membarah dan merebak sehingga membayangi lain-lain agenda rakyat yang masih terlalu banyak untuk diperjuangkan.

“Saya tidak mahu menyentuh secara mendalam mengenai isu di Pulau Pinang yang telah mencetuskan polemik antara Keadilan dan DAP tetapi cukup untuk kita fahami bahawa rakyat hari ini sudah matang dalam menilai politik,” ujarnya yang juga bekas Penyelaras Ngo Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Ragui kebijaksanaan 52 peratus rakyat?

Syukri Razab (tengah) dalam satu forum yang diadakan tahun lalu.Menyifatkan pemahaman rakyat pada masa ini jauh berbeza dengan dekad lalu, Syukri menekankan tentang kesedaran tinggi politik dalam kalangan pengundi seperti yang dibuktikan pada sejumlah 52 peratus rakyat yang memilih parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

“Rakyat bukan lagi memahami politik secara selapis seperti 10 atau 15 tahun dahulu, iaitu era segala khabar angin diterima bulat-bulat tanpa diteliti dan dikaji.

“Apakah kita masih meragui kebijaksanaan 52 peratus rakyat yang telah menyebabkan Umno-BN menjadi kerajaan minoriti hari ini? 52 peratus inilah rakyat yang saban hari cuba ditipu oleh media arus perdana BN.

“52 peratus inilah rakyat yang saban hari cuba disogok dengan politik wang oleh BN. Rakyat 52 peratus inilah yang saban hari cuba dikaburkan dengan politik fitnah oleh BN. 52 peratus inilah rakyat yang diugut, diancam, ditangkap, didakwa dan dizalimi oleh BN.

“Apakah ini tidak cukup untuk membuktikan bahawa rakyat sudah jauh lebih matang dan bijak dalam memahami tanggungjawab terhadap negara?” bidasnya.

Berkongsikan pengalamannya dengan beberapa pemandu teksi baru-baru ini, beliau berkata, perbualan mereka menambahkan lagi keyakinannya bahawa rakyat telah bersedia untuk membuat perubahan menjelang PRU14 nanti.

“Tidak sempat untuk kita membuka mulut memulakan cerita, pemandu teksi itu terlebih dahulu meluahkan segala ketidakpuasan hati tanpa peduli penumpang mereka ini pro atau anti-BN,” ujarnya.

Sehubungan itu, Syukri menggesa supaya Majlis Presiden Pakatan Harapan sentiasa aktif untuk segera menangani polemik picisan yang dianggapnya mesti akan sentiasa berlaku.

“Rakyat mahukan sebuah alternatif yang kukuh dan diyakini mampu mentadbir Negara lebih baik daripada Umno- BN. Saya menaruh sepenuh kepercayaan bahawa Majlis Presiden Pakatan Harapan adalah sandaran paling utama untuk pakatan pembangkang memperkukuh kembali kepercayaan dan sokongan rakyat.

“Mudah-mudahan, menjelang PRU14 nanti, rakyat akan mengundi kita secara rela dan senang hati, bukannya kerana terpaksa kerana tiada pilihan lain,” tambahnya lagi yang juga bekas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

TAGS