Rakyat Sabah diajak hapuskan budaya politik ‘katak lompat’

Rakyat Sabah diajak hapuskan budaya politik ‘katak lompat’

DAP Sabah mengingatkan pemimpinnya mesti meletakkan jawatan sekiranya mereka meninggalkan parti atau ‘lompat’ ke parti lain kerana mereka telah mengkhianati pengundi.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 Stephen Wong Tien TattDAP Sabah mengingatkan pemimpinnya mesti meletakkan jawatan sekiranya mereka meninggalkan parti atau ‘lompat’ ke parti lain kerana mereka telah mengkhianati pengundi.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Tatt berkata, budaya ‘lompat katak’ dalam parti dibenci rakyat Sabah dan budaya itu perlu dihapuskan.

” Mereka akan menanggung akibat yang buruk lantaran sikap bongkak dan kesilapan yang mereka lakukan hari ini.

“Mereka telah mengkhianati pengundi yang telah memilih DAP dalam pilihanraya umum yang lalu, biar apa pun alasannya, mereka tidak akan boleh menjustifikasi pangkhianatan yang telah mereka lakukan.

“Apatah lagi melepaskan diri daripada persoalan yang dilontarkan orang ramai ataupun mewajarkan kelakuan ‘lompat katak’ mereka.

“Ini adalah budaya yang sangat dibenci oleh rakyat Sabah, dan budaya ini mesti dihapuskan demi kepentingan Sabah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Stephen Wong merujuk kepada Adun Likas Wong Hong Jun (Junz Wong) yang telah mengetuai sekumpulan kecil anggota parti untuk keluar dari DAP dan mahu menganggotai sebuah lagi parti tempatan di Sabah. Junz Wong turut mengumumkan keluar parti bersama-sama Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Joan Goh dan Naib Pengerusi DAP Sabah, George Hiew.

Semalam Pengerusi Perhubungan PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin mengesahkan keluar daripada PKR bersama dengan Adun Mayong PKR Terrance Siambun; Setiausaha PKR Sabah, Datuk Majjol Mahap dan Ketua Wanita PKR Sabah, Johair Matlani.

Justeru Stephen Wong berkata  sebagai wakil rakyat yang dipilih dalam pilihan raya lalu, Junz Wong mestilah mematuhi ikrar kepada pengundi, dan akur kepada konsep serta prinsip parti. Mereka, tidak ada sebarang keraguan lag.

“Jika beliau tidak bersetuju dengan ideologi dan prinsip DAP, kenapa beliau bertanding dalam pilihanraya lalu di bawah bendera DAP?

“Jika mereka tidak boleh memahami asas prinsip demokrasi, dan tidak menghormati kehendak pengundi, mereka tidak layak untuk berkata mereka peduli dengan negeri Sabah.

“Bagi pihak kami, DAP Sabah dengan ikhlas menegaskan bahawa pemimpin dan anggota kami adalah anak negeri ini, lahir di Sabah dan telah mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Sabah,” ujar Ahli Parlimen Sandakan ini.

Beliau menegaskan, mereka yang melompat dan sering mengabaikan kepercayaan rakyat, menggunakan pelbagai alasan dan helah demi kepentingan diri,akan ditolak oleh rakyat dan dilenyapkan dari sejarah.

Ahli politik jenis ini, ujarnya telah merendahkan konsep asas dan prinsip demokrasi, serta merupakan musuh terbesar demokrasi di negeri Sabah.

Pada tahun 2013, apabila Dr Hiew King Cheu dikhabarkan akan meninggalkan DAP, Junz Wong telah mengeluarkan kenyataan terhadap pengkhianatan Hiew kepada para pengundi dan mendesak Hiew supaya meletakkan jawatan Adun Luyang.

“Kini, perkara yang sama mesti dilakukan oleh Junz Wong. Beliau mesti meletakkan jawatan sebagai Adun Likas dengan serta merta.

“Sepanjang 50 tahun sejarah DAP, kami telah mematuhi konsep dan prinsip reformasi, kami tidak berputus asa dan tidak berkompromi.

“Kami sanggup bekerjasama dalam soal nilai sejagat, namun ia haruslah dengan syarat keikhlasan. Jika tidak, kami akan terus berpegang kepada prinsip dan berjuang sehingga ke akhirnya,” tegasnya.

TAGS