Rakyat Sabah mahu selesaikan masalah air, bukan kenakan GST

Rakyat Sabah mahu selesaikan masalah air, bukan kenakan GST

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara-Negeri Sabah (Amanah Sabah) menggesa pihak kerajaan supaya menyelesaikan isu air di Sabah sebelum melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Goods and Service Tax-GST) yang dijadualkan berkuatkuasa September ini.

Merujuk kepada satu surat bertarikh 13 September 2016 bertajuk ‘Penguatkuasaan GST Fasa 2 ke atas Pembekalan Air Terawat dan Perkhidmatan’ daripada Jabatan Air Negeri Sabah, Pengerusi Amanah Sabah, Hamzah Abdullah berkata isu air yang berlaku di kebanyakan daerah di Sabah perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum melaksanakan cukai ini.

Penguatkuasaan GST Fasa 2 ke atas Pembekalan Air Terawat“Saya merujuk kepada surat yang dihantar oleh Jabatan Air Negeri Sabah kepada semua Jabatan Air di Negeri Sabah yang menyatakan penguatkuasaan GST Fasa 2 ke atas pembekalan air terawat. Kita di Sabah dapat melihat sendiri pelbagai masalah air yang berlaku. Masalah pam air yang rosak, saliran dan paip air, bekalan air tidak mencukupi, catuan air dan sebagainya”, katanya.

“Umpamanya di Kg. Pirasan, Kota Belud. Kampung tersebut mengalami masalah ketiadaan air. Sehinggakan pada tahun ini, masyarakat di sana berdemonstrasi menuntut kerajaan menyelesaikan isu air yang telah lama berlaku. Masalah ini sepatutnya diselesaikan dahulu, sebelum melaksanakan arahan cukai GST ini”, tambahnya.

Menurutnya lagi, tindakan mengenakan cukai GST ke atas perbekalan air adalah penindasan buat rakyat Sabah dan membebankan rakyat.

“Air adalah keperluan asas rakyat yang digunakan pada setiap hari oleh segenap masyarakat. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, mengenakan cukai GST ke atas perbekalan air adalah penindasan untuk seluruh rakyat tanpa mengira pendapatan dan keadaan rakyat. Samada yang miskin atau kaya, tua atau muda, semuanya terbeban membayar cukai GST”, ujarnya.

Selain itu, Hamzah turut menggesa wakil-wakil rakyat khususnya daripada Sabah membawa isu ini ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Parlimen dalam persidangan akan datang bagi mendesak kerajaan membatalkan cukai GST ke atas perbekalan air.

“Saya menyeru kepada semua wakil-wakil rakyat, khususnya daripada Sabah, untuk membawa isu ini ke DUN mahupun Parlimen bagi mendesak kerajaan membatalkan cukai GST ke atas perbekalan air. Kalau pun kerajaan masih berdegil untuk terus menekan rakyat melalui cukai ini, biarlah rakyat tahu wakil-wakil rakyat daripada Sabah tidak pernah bersetuju dengan penindasan ke atas rakyat Sabah”, ujarnya.

Sebelum ini, Amanah Sabah bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Belud telah mengadakan kutipan tandatangan mendesak kerajaan menyelesaikan masalah air di Kota Belud. Lebih 3000 tandatangan masyarakat Kota Belud telah berjaya dikumpulkan sejak Jun lalu.

TAGS