Rakyat Sabah, Sarawak bersedia hadapi TPPA?

Rakyat Sabah, Sarawak bersedia hadapi TPPA?

Sejauh mana rakyat di Sabah dan Sarawak memperoleh keadilan dan kesaksamaan daripada penyertaan negara dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menjadi persoalan dibangkitkan Ahli Jawatankuasa Amanah, Aiman Athirah Al-Jundi.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Aiman Athirah Al JundiSejauh mana rakyat di Sabah dan Sarawak memperoleh keadilan dan kesaksamaan daripada penyertaan negara dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menjadi persoalan dibangkitkan Ahli Jawatankuasa Amanah, Aiman Athirah Al-Jundi.

Mengulas jumlah 45 ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak yang menyokong TPPA dalam usul dibahaskan di Parlimen semalam, beliau berkata, penduduk di pulau Borneo itu sehingga kini masih gagal diberikan keadilan untuk menikmati harga barang yang sama seperti di Semenanjung akibat dasar kabotaj di bawah kerajaan BN.

“Apakah benar rakyat Sabah dan Sarawak bersedia memasuki arena ekonomi TPPA ini? Harga barangan mereka jauh lebih mahal, sedangkan pendapatan mereka pula jauh lebih rendah.

“Saya percaya, rakyat Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak wajib mendapat penerangan yang adil dan seimbang tentang implikasi buruk daripada TPPA,” jelasnya dalam kenyataan beliau hari ini.

Ragu dengan kejujuran sokongan majoriti ahli parlimen BN terutama Melayu Umno terhadap perjanjian perdagangan diketuai Amerika Syarikat (AS) itu, beliau berkata, Umno sebelum ini tidak pernah berpuas hati dengan persaingan antara kaum di dalam negara.

Politik angguk geleng

Mengulas pengundian terhadap usul TPPA yang menyaksikan lima ahli parlimen dipercayai tidak mengundi, Athirah berkata, politik baharu untuk Malaysia adalah
politik hujah bukannya politik arah dan ampu atau “angguk-angguk, geleng-geleng, tunduk-tunduk, ikut telunjuk”.

“Saya tidak mahu tahu siapa (lima ahli parlimen itu). Sama ada mereka hadir atau tidak pun bukanlah urusan saya tetapi setiap mereka perlu bertanggungjawab, bukan?

“Justeru, dengan mereka berdiam, saya kira mereka juga bersetuju dengan usul tersebut sebaliknya, mereka kena mula belajar untuk berkata TIDAK kepada parti
mereka untuk kepentingan rakyat,” ujarnya.

Menegaskan amalan undian blok sebagai menghancurkan negara serta ‘Malaysia bukan boneka Amerika’, bekas pemimpin Muslimat Pas itu berkata, perjuangan rakyat menentang TPPA belum selesai.

“Tidak ramai rakyat yang sedar bahawa di hadapan masih ada ruang untuk rakyat yang cintakan negara ini beraksi secara signifikan untuk menyatakan bantahan berterusan secara tuntas selama tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

“Ya, benar. Tanggal 4 Februari 2016 adalah satu tarikh yang cukup mengerikan apabila pada tarikh tersebut, TPPA akan ditandatangani oleh wakil-wakil daripada 12 negara yang bersetuju dalam TPPA ini di New Zealand, termasuklah Malaysia.

“Namun tempoh seusai 4 Februari 2016 sehingga 2018 adalah satu perjalanan yang wajib kita tempuh dengan segala pengertian – isi dan maksud membantah perjanjian kapitalis ini,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menyeru rakyat negara ini yang mencintai kedaulatan negara dan bersimpati dengan mereka yang masih memerlukan dukungan dasar-dasar yang membantu, agar bangkit menyatakan protes dalam pelbagai bentuk dan cara yang diizinkan undang-undang negara sepanjang tempoh berkenaan.

“Ayuh, kita tunjukkan kepada dunia bahawa kita tidak sekali-kali rela ekonomi dan tanah air kita diperjudikan sebegini rupa. Kita sama sekali tidak akan tunduk
kepada pencabulan kedaulatan rakyat dan negara dengan apa cara sekalipun,” tegas Athirah lagi.

TAGS