Ramai lagi ‘Shukri’ di luar sana, forum diberitahu

Ramai lagi ‘Shukri’ di luar sana, forum diberitahu

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yakin ramai lagi orang yang semacam Mohd Shukri Saad, yang terjun dari jambatan Pulau Pinang dua minggu lalu di luar sana.

“Ia bukan kes biasa kalau dilihat kepada sebab yang mendorong tindakannya. Ia bukan situasi Shukri seorang tetapi ramai dalam masyarakat,” kata Zairil ketika menyertai forum “Biarlah aku berkorban untuk Malaysia’ di Tasek Gelugor Pulau Pinang malam ini.

Oleh itu, katanya, negara memerlukan satu perubahan besar dalam sistem khasnya undang-undang negara yang adil kepada semua bukan kepada orang kecil sahaja.

“Selagi kita tidak berjaya menukar institusi ini, ramai rakyat akan terus merasa mereka tertindas dalam sistem ini,” katanya.

Jika ia tidak ditangani dengan baik, banyak lagi kes akan berlaku sebagaimana yang berlaku kepada Shukri.

“Jika kita mahu suasana yang lebih baik untuk anak cucu kita, kita perlu buat perubahan,” kata Zairil.

Beliau berkata, berapa ramai lagi ‘Mohd Shukri’ di luar sana yang rasa diri mereka dizalimi dan dinafikan haknya.

“Kalau kita lihat inti notanya, keluhannya, kita akan nampak sebenarnya dia adalah golongan tertindas dalam negara.

“Dia nampak dunia yang tidak adil. Pemimpin yang rakus, zalim, tibai bukan berjuta tetapi berbilion ringgit. Mereka terlepas, orang kecik macam dia kena,” kata Zairil.

Sim Tzi Tzim, ahli parlimen Bayan Baru pula memberikan contoh-contoh jelas bagaimana ramai lagi rakyat yang menghadapi masalah sebagaimana Shukri di luar sana.

“Apa yang berlaku kepada Shukri sangat memberi kesan kepada saya kerana masalah yang sama turut dihadapi oleh jiran dan kenalan saya,” kata ahli parlimen dari PKR itu.

TAGS