Ramai mahu turut serta tapi masih di Bintulu, kata Siti Zailah

Ramai mahu turut serta tapi masih di Bintulu, kata Siti Zailah

 

 

 

 

 

 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Siti Zailah Mohd YusoffAda sebab Ahli Parlimen Pas dilihat tidak ramai menyertai perarakan kira-kira 50 Ahli Parlimen Pakatan Harapan termasuk aktivis dan bekas pemimpin Umno menuju ke Bukit Aman sebentar tadi.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sebahagian besar pemimpin Pas masih lagi berada di Sarawak ekoran pengumuman calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri kali ke-11.

“Setiausaha Agung memang memaklumkan kepada kami supaya hadir tetapi Ustaz Nasrudin, Ustaz Idris Ahmad dan Ustaz Nik Abduh antaranya masih di Bintulu.

“Mereka tak sempat balik (ke Semenanjung) sebelum jam 9 pagi (waktu mula berarak dari Parlimen). Jadi, kami diwakilkan untuk turut serta,” jelasnya ketika ditemui Malaysia Dateline di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas 15 minit berarak pagi ini.

Mengulas penyertaannya dalam protes tersebut, beliau berkata, kerajaan mesti menyedari penangkapan Rafizi Ramli yang juga Naib Presiden PKR adalah mencabuli hak Ahli Parlimen seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Kami menuntut hak di pihak penggubal dasar juga rakyat Malaysia kerana menjadi tanggungjawab kita meletakkan kedaulatan Perlembagaan di kedudukan sebenarnya,” ujarnya yang mesra dikenali sebagai Kak Lah.

Selain beliau, pemimpin Pas yang turut kelihatan dalam perarakan sejauh dua kilometer itu adalah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah (Kubang Krian) dan Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad (Pasir Puteh).

Hari ini dilaporkan 40 Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan dan Pas berarak menuju ke Bukit Aman dari perkarangan Parlimen untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap penahanan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli di lokap Jinjang selama tiga hari di bawah Akta Rahsia Rasmi(OSA).

TAGS

COMMENTS