Ramai penjawat awam tertekan kos sara hidup naik mendadak

Ramai penjawat awam tertekan kos sara hidup naik mendadak

Enam syor berkaitan penjawat awam yang mendapat sokongan tertinggi dalam laman web khas untuk rakyat memberikan cadangan bagi Bajet 2018 menggambarkan tekanan golongan tersebut berdepan dengan kenaikan mendadak kos sara hidup.

Kesemua syor bagi kategori kos sara hidup yang boleh diakses di https://bajet2018.najibrazak.com itu membabitkan tuntutan kenaikan gaji, elaun dan bonus bagi kakitangan kerajaan.

Semakan Malaysia Dateline tengah hari ini mendapati cadangan pengguna bernama Ravidasan supaya elaun penjawat awam ditambah mendapat sokongan tertinggi mencecah 1,253 daripada pengguna lain.

“YAB Dato Seri, seperti semua sedia maklum bahawa kos sara hidup telah meningkat. Jadi, untuk menyara kos tersebut sebagai penjawat awam saya sarankan elaun perkhidmatan dinaikkan,” katanya.

Tuntutan sama disuarakan pelayar web itu, Richard Samie yang menyarankan gaji penjawat awam dinaikkan sebanyak empat peratus mengikut kadar inflasi semasa.

Menurutnya, elaun perumahan juga perlu ditambah kepada RM100 memandangkan kadar sewa dan harga kediaman yang mahal pada masa ini.

“Peningkatan elaun perumahan dapat meringankan beban penjawat awam. Bila pendapatan meningkat, secara tidak langsung kuasa beli pengguna akan turut meningkat.

“Rakyat tetap akan berbelanja. Ini akan merancakkan ekonomi negara. Bila perbelanjaan meningkat, pendapatan negara turut meningkat,” hujahnya yang mendapat sokongan kedua tertinggi daripada 1,185 pengguna.

Sehingga 31 Mac lalu, terdapat 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara dengan 57 peratus daripadanya adalah guru, tentera, polis, doktor dan jururawat.

Memberitahu terdapat kakitangan kerajaan yang tidak memperoleh bonus sejak 2013, pengguna bernama Haslina pula mencadangkan bonus kepada mereka diberi sebanyak dua bulan gaji.

“Diharap Datuk Seri Najib dapat memberi imbuhan bonus kepada kakitangan kerajaan untuk membantu meringankan beban kenaikan harga barang yang mendadak naik,” ujarnya.

Kakitangan kerajaan, Amir Ibrahim juga senada dengan saranan itu dengan menambah kaedah pembayaran bonus boleh dilakukan secara bulanan berbanding dibayar secara terus atau dua kali setahun.

“YAB Dato’ Seri diharapkan belanjawan kali ini dapat diberikan bonus penjawat awam sekurang-kurangnya sebulan gaji atau maksimum dua bulan gaji berbanding RM 500 yang diberikan sebelum ini.

“Sebagai contoh bonus yang dibayar adalah RM 6,000. Maka pembayaran boleh dibuat RM 500 untuk setiap bulan selama 12 bulan. Kaedah inI dapat mengurangkan beban kerajaan,” cadang Amir lagi.

{loadposition myposition}

Pelarasan 

Sehingga 18 September ini, rakyat Malaysia boleh terus menyalurkan cadangan melalui https://bajet2018.najibrazak.com yang terdiri daripada 14 kategori antaranya perumahan dan kehidupan bandar, pendidikan, pekerjaan, pembangunan desa, pengangkutan serta ekonomi digital.

Turut mengakui kos sara hidup yang semakin menekan, Shafiq Ibrahim mengesyorkan kerajaan melaksanakan pelarasan semula terhadap gaji dan elaun penjawat awam yang difahamkannya dibuat kali terakhir pada 2007 sebanyak tiga peratus.

“Semakan pelarasan ini perlu disebabkan kos sara hidup yang tinggi,” jelasnya lagi yang kemudiannya meraih 258 undian sokongan menerusi butang suka.

Sementara itu, penjawat awam, Mohd Muzaimi Abd Rahman memohon Najib Razak mengkaji dan meneliti masalah dan bebanan kos sara hidup yang ditanggung kumpulan sokongan sepertinya.

Tuntutannya yang juga disokong ratusan pelayar web itu menggesa Najib menaikkan agar elaun sara hidup (COLA) penjawat awam sehingga 50 peratus.

“Golongan pelaksana seperti saya sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi di bandar. Sara hidup juga meningkat kerana bilangan keluarga yang semakin bertambah,” rayunya lagi.

Jumlah penjawat awam di negara ini mewakili hanya 11 peratus daripada keseluruhan kira-kira 15 juta pekerja di negara ini sekali gus menyaksikan bebanan kos sara hidup bagi sebahagian besar rakyat yang bekerja di luar sektor awam adalah jauh lebih kritikal.

Dalam hal berkaitan, dianggar sebanyak 507,700 orang di negara ini daripada 32 juta penduduk Malaysia tidak berkerja setakat Jun lalu mengikut pendedahan Jabatan Perangkaan Malaysia.

CATEGORIES
TAGS