Rasuah: Pegawai bergelar ‘Datuk’ direman empat hari

Rasuah: Pegawai bergelar ‘Datuk’ direman empat hari

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Seorang pegawai awam bergelar ‘Datuk’ ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah melibatkan projek-projek Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka, hari ini.

Pegawai lelaki berusia 55 tahun itu diperintah supaya ditahan reman selepas dia dibawa ke Mahkamah Majistret di Ayer Keroh di sini hari ini.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Syarina Shaarani @ Tan membenarkan permohonan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lelaki itu selama empat hari bermula hari ini.

SPRM turut membekukan akaun bank milik suspek yang mengandungi wang jutaan ringgit, dipercayai diraih menerusi rasuah.

Pegawai awam itu ditahan SPRM kira-kira 2 petang semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, lelaki berkenaan yang berpakaian sut lengkap itu tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 10 pagi dengan diiringi anggota SPRM sebelum meninggalkan mahkamah hampir sejam kemudian.

TAGS