Rasuah tempatnya neraka, tetapi kenapa tidak sensitif, tanya Mohamad Sabu

Rasuah tempatnya neraka, tetapi kenapa tidak sensitif, tanya Mohamad Sabu

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Umat Islam didapati tidak sensitif dengan rasuah berbanding dosa lain sedangkan mereka yang memberi dan menerima rasuah tempatnya adalah di neraka, kata Presiden Amanah, Haji Mohamad Sabu.

Namun, pelbagai pembongkaran rasuah melibatkan angka berbilion ringgit masih tidak mendorong untuk rakyat melakukan perubahan.

Itulah intipati ucapan hampir 10 minit Presiden Amanah, Mohamad Sabu malam tadi sempena Himpunan Mansuhkan GST dan Undur Najib petang ini.

“Kenapa orang Islam tidak sensitif dengan rasuah sedangkan pemberi dan penerima rasuah tempatnya di neraka.

“Rosmah shopping merata, rambutnya yang dibuat salam rice cooker terbalik, sekali buat RM1,200. Guna jet kerajaan ke sana ke mari.

“Tapi rakyat tak peduli. Ulama-ulama mendiamkan diri sedangkan Imam Malik, Imam Syafei, Imam Abu Hanifah, Imam Nawawi mereka dipenjara, diusir kerana menentang pemerintah yang zalim,” ujarnya di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) itu.

Beliau yang mesra dipanggil Mat Sabu juga mengimbas reaksi rakyat melalui keputusan pilihan raya selepas pendedahan banyak kes rasuah dan penyelewengan.

“Bila kita ceritakan skandal Bank Bumiputera, berbuih mulut ceramah di seluruh negara, datang pilihan raya BN menang.

“Maka pemimpin Barisan Nasional kata, kita curi banyak mana pun rakyat akan sokong. Kita dedahkan isu PKFZ dan skandal lembu NFC, berbilion ringgit, datang pilihan raya Barisan Nasional menang.

“Kemudian didedahkan ibu segala skandal kalau menang lagi Barisan Nasional, you ask for it!” katanya dengan nada suara tinggi.

Turut menegaskan rakyat mempunyai kuasa untuk menjatuhkan pemerintahan diktator dan rasuah, Mat Sabu mengingatkan tanggungjawab penjawat awam.

“Polis, tentera, pegawai kerajaan, jagalah keselamatan negara. Ini amanah buat kamu semua. Jangan jaga pemimpin yang rasuah.

“Kalau (penjawat awam) jaga negara, jaga Perlembagaan maka negara akan aman dan pertukaran kuasa sama ada Perdana Menteri atau pemerintahan berlaku dengan baik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru segenap lapisan rakyat turun menyertai himpunan petang ini menuntut Najib berundur sebagai Perdana Menteri.

“Besok (Hari ini) kita akan turun. Kita tidak mahu campur tangan asing. Najib berhenti dengan elok. Perdana Menteri mesti dengar suara rakyat.

“Kalau rakyat tak mahu menukar pemerintahan, dia akan curi lagi banyak. Rakyatlah yang boleh menjatuhkan pemerintahan diktator,” tambahnya lagi.

TAGS