Rasuah wang dan perempuan, Rafizi buat laporan kepada SPRM hari ini

Rasuah wang dan perempuan, Rafizi buat laporan kepada SPRM hari ini

 

Rafizi Ramli menunaikan janjinya hari ini untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dengan dakwaan rasuah wang dan perempuan oleh pegawai kerajaan negeri Selangor.

Setiuasaha Agung yang juga Naib Presiden PKR itu membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pagi ini selepas mendapat lampu hijau dari Biro Politik PKR yang bermesyuarat baru-baru ini.

Sebelum ini, perbualan Rafizi dalam kumpulan whatsappnya telah didedahkan kepada umum berkaitan dakwaan permintaan rasuah wang dan perempuan oleh pegawai kerajaan negeri Selangor.

Ekoran itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat kenyataan bertulis mengecam dakwaan itu dan menyifatkan ianya sebagai usaha melemahkan kerajaan negeri Selangor dan intergriti pegawainya.

Ekoran itu, isu ini dibawa kepada Biro Politik PKR dan mesyuarat itu meminta Rafizi membuat laporan kepada SPRM mengenainya jika mempunyai bukti.

Umno juga berjanji akan membuat laporan polis jika Rafizi tidak membuat laporan kepada SPRM hari ini.

“Kepada semua termasuklah rakan-rakan Umno/BN  yang seperti kadok naik junjung mendesak saya membuat laporan SPRM, sedang mereka menikus mengenai 1MDB dan pelbagai skandal lain bahawa saya akan membuat laporan SPRM mengenai aduan salah laku pada hari Isnin, 30 Mei 2016 jam 11:30 pagi di ibu pejabat SPRM, Putrajaya,” kata Rafizi dalam satu kenyataannya sebelum ini.

Rafizi juga berkata beliau ‘berbangga’ dengan tindakan Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keputusan biro politik yang bermesyuarat malam Selasa lalu kerana mengarahkannya menyerahkan semua bukti yang dimilikinya kepada SPRM.

“Ini akan menjadi satu rujukan atau precedent selepas ini, bahawa mana-mana anggota parti yang mempunyai maklumat salah laku atau penyelewengan melibatkan anggota parti atau pentadbiran yang membabitkan anggota parti boleh melaporkan terus ke SPRM atau pihak berkuasa tanpa perlu khuatir ia bakal dilihat sebagai tindakan mensabotaj parti.

“Keputusan itu adalah hadiah terbaik kepada peringatan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, supaya pimpinan dan anggota parti tidak menyimpang dari niat dan matlamat asal perjuangan reformasi,” katanya.

TAGS

COMMENTS