Ratusan penumpang Komuter KTM terkandas

Ratusan penumpang Komuter KTM terkandas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lagi gangguan kepada kelancaran pengangkutan awam. Kali ini membabitkan operasi perkhidmatan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Pengguna tren dari Kuala Lumpur ke Sungai Buloh memberitahu masa mereka banyak terbuang apabila perkhidmatan mengalami gangguan lagi malam ini.

Penumpang, Azuan berkata, masalah yang berlaku malam tadi sekali lagi membuktikan pihak KTMB tidak serius untuk menyediakan perkhidmatan yang memuaskan kepada penumpang.

“Tunggu hampir sejam di Sungai Buloh tapi berhenti lebih sejam dalam hutan belukar selepas Sungai Buloh kemudian disuruh turun dan tunggu tren lain,” ujarnya.

Beliau berkata, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga dilihat tidak mengambil peduli masalah berkenaan memandangkan banyak aduan dibuat tetapi masih tidak menampakkan perubahan positif.

Akibat insiden tersebut, beliau bersama ratusan penumpang lain hanya tiba di stesen Rawang pukul 8.30 malam tadi.

“Naik pukul 6.28 petang. Bayangkan kami dalam dua jam perjalanan dari KL. Amat meletihkan. Biasanya lebih kurang sejam boleh sampai di Rawang,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Gangguan atau kelewatan waktu perjalanan Komuter KTM kerap berlaku walaupun kerja-kerja menaik taraf yang kononnya bagi meningkatkan mutu perkhidmatan tren dilaksanakan sejak tahun lalu.

Walau bagaimanapun, sejak Disember tahun lalu Komuter menaikkan tambang sehingga
maksimum RM7.10 bagi satu perjalanan.

TAGS