Rayuan Kamal Hisham didengar 20 Januari depan

Rayuan Kamal Hisham didengar 20 Januari depan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 20 Januari depan bagi proses pendengaran rayuan bekas peguam Sultan Johor, Kamal Hisham Jaafar‎, 46, yang berdepan dua pertuduhan pecah amanah melibatkan wang melebihi RM500,000.

Peguamnya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dilapor berkata, tarikh baru itu berkait hak Kamal Hisham untuk melawat bapanya yang sedang uzur dan wujudnya isu teknikal membabitkan penyediaan dokumen untuk difailkan anak guamnya.

Menurutnya, Kamal yang mempunyai kaitan dengan Sultan Johor turut dinafikan hak untuk bertemu dengan peguam ketika dalam tahanan kerana dikategorikan sebagai banduan liputan meluas selain bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi, disebabkan status itu, dia mempunyai akses terhad untuk bertemu dengan peguam-peguam menyebabkan beberapa dokumen dan keterangan yang seharusnya difailkan di Mahkamah Rayuan dalam tempoh ditetapkan tidak dapat dibuat,” dipetik daripada Malaysiakini ketika ditemui di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Kamal Hisham yang diwakili peguam belanya Nur Hannan‎ Ishak ketika sebutan kes di depan tiga panel hakim diketuai Datuk Moktarudin Baki merayu agar diberikan lanjutan masa untuk pendengaran rayuannya.

“Saya memohon melalui kuasa budi bicara yang arif untuk memberi tempoh secukupnya bagi membolehkan saya‎ memberi arahan kepada peguam,” katanya yang sedang dipenjarakan sementara menunggu perbicaraan kesnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Khairul dan seorang lagi peguambela Kamal, Shaharuddin Ali disoal siasat berhubung afidavit sokongan Kamal Hisham selama kira-kira dua jam oleh pasukan jenayah terkelas Bukit Aman di ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 9 Disember lalu.

Kamal sebelum ini tinggal di Dubai selepas meninggalkan Malaysia pada 2011 atas faktor keselamatan dirinya. Walau bagaimanapun, beliau yang menjadi buruan polis diberkas ketika mendarat di Singapura menerusi waran tangkap Interpol yang dikeluarkan ke atasnya, 2 September tahun lalu sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa di Malaysia.

 

TAGS