RCI Forex BNM: Ahli MT Umno dakwa bekas menteri lindungi Tun Mahathir

RCI Forex BNM: Ahli MT Umno dakwa bekas menteri lindungi Tun Mahathir

Belumpun sempat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menamatkan sesi pendengarannya, sudah kedengaran komen pemimpin kanan Umno yang mempertikaikan keterangan saksi seolah-olah mengesahkan kebimbangan umum terhadap motif politik di sebalik penubuhannya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi mempersoalkan keterangan bekas menteri kewangan kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada sesi pendengaran RCI itu dengan menuduh beliau “ingin membalas jasa” Tun Dr Mahathir Mohamad kerana melantiknya sebagai penasihat kewangan.

“Jangan pula kerana diberi peluang semula sebagai penasihat kewangan kepada perdana menteri semasa krisis kewangan tahun 1997/1998 menyebabkan Nor Mohamed Yakcop bersedia menjadi ‘kambing hitam’ hingga tersembunyi fakta sebenar mengenai skandal kewangan yang menyebabkan negara kerugian pulohan bilion ringgit ketika itu,” kata Puad.

Nor Mohamed ketika urus niaga forex itu berlangsung menjawat penolong gabenor BNM dan bertanggung jawab terhadap segala urusan perniagaan itu.

{loadposition myposition}

Ketika memberi keterangan Rabu lalu, Nor Mohamed mengakui bertanggungjawab dalam urusniaga forex itu namun tidak pernah memaklumkan atau berbincang dengan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad ataupun menteri kewangan Tun Daim Zainuddin.

Puad dalam kenyataan yang dipetik FMT mempersoalkan keterangan Nor Mohamed yang mengaku bertanggungjawab di atas kerugian besar itu tetapi pada masa sama menafikan bertindak bersendirian dalam urus niaga forex.

“Maksudnya ada orang lain terlibat. Siapakah orang itu? Apakah dia bermaksud gabenor BNM? soalnya.

“Mustahil Nor Yakcop membuat keputusan bersendirian dan mustahil juga jika tiada arahan dari pihak atasan,” kata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu.

Puad juga menuduh Nor Mohamed telah dijadikan ‘kambing hitam’ untuk menyembunyikan fakta sebenar skandal kewangan itu bagi melindungi Dr Mahathir yang melantiknya menjadi penasihat kewangan kepada perdana menteri semasa krisis kewangan 1997-1998.

“Yang pasti Nor Mohamed cuba mengelak daripada mengaitkan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu,” kata Puad.

Kerugian yang dicatatkan selama beberapa tahun sehingga awal 1990-an itu berlaku di bawah pentadbiran Dr Mahathir, sementara Daim and Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah menteri kewangan.

RCI itu sebelum ini dilihat Dr Mahathir sebagai usaha pentadbiran Najib untuk mengaitkan beliau dengan salah laku masa lampau, di sebalik desakan pengerusi PPBM itu supaya kerajaan menubuhkan RCI menyiasat skandal 1MDB.

CATEGORIES
TAGS