Relevankah lagi kongres khas?

Relevankah lagi kongres khas?

Alhamdullillah, Majlis Presiden Pakatan Harapan telah membuat satu keputusan yang bukan sahaja bijak, malah menepati citarasa majoriti rakyat bawahan yang semakin ghairah untuk melihat tumbangnya rejim Umno/BN dalam PRU14 nanti.

Kesemua pemimpin utama mewakili keempat-empat parti di dalam Pakatan Harapan menandatangani kenyataan dan penegasan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Pas setelah begitu lama masa diberikan kepada parti berlabel Islam itu untuk memilih sama ada bersama arus kebangkitan rakyat atau untuk terus ‘bertaawun’ dengan Umno/BN.

Tunai hasrat Anwar

Usaha rundingan dengan Pas sememangnya menjadi hajat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak awal penubuhan meja bulat membentuk Pakatan Harapan lagi. Secara resminya parti itu dijemput dan secara resminya juga parti itu menolaknya dengan pelbagai alasan dan syarat-syarat yang diberikan.

Namun, melalui PKR salah sebuah parti di dalam Pakatan Harapan, usaha memujuk Pas berterusan dengan berbagai cara dan kaedah. Dalam mengharungi suasana itu, PKR teruk dikecam oleh marhaen dan juga rakan-rakan sekutu di dalam Pakatan Harapan sendiri, namun demi menunaikan hasrat mulia Anwar, PKR tabah menghadapinya.

Sebelum kewujudan Amanah lagi, hubungan PKR dan Pas semakin dingin. Semakin kencang dalam mesyuarat-mesyuarat Pas kawasan yang meminta Pas memutuskan “Tahalluf Siyasi” dengan PKR.

Ulamak-ulamak dalam Pas sepatutnya tampil menampilkan akhlak “ulamak” sebenar iaitu menjadi pendamai, malangnya mesyuarat Dewan Ulamak sendiri lebih hebat mencerca PKR.

Sehingga ke saat beberapa hari menjelang Muktamar Pas yang menyaksikan sekumpulan pimpinan Pas yang mahu mempertahankan Pakatan Rakyat telah tumbang dalam pemilihan, PKR terus memujuk Pas agar sedikit positif paling tidak memikirkan situasi di Selangor sekiranya tiada perdamaian dapat dicari.

Wakil Pas Selangor telah membawa masalah ini ke pihak Pas Pusat sewaktu di muktamar, namun Pas Pusat terus membuat keputusan melalu Muktamar tanpa bahas iaitu terputusnya “Tahalluf Siyasi” dengan PKR.

Sebelum itu, DAP telah pun menjadi mangsa kerakusan parti pimpinan Hadi Awang itu. Maka, wujudlah AMANAH untuk membawa legasi pemikiran Almarhum Tok Guru Nik Aziz bagi menggantikan Pas.

{loadposition myposition}

Putus kerjasama politik

“Tahalluf Siyasi” bererti kerjasama politik. Putus Tahalluf Siyasi bererti putus segala kerjasama politik. Jawatan Exco dalam sesebuah kerajaan negeri adalah lantikan politik.

Lazimnya, MB atau Ketua-Ketua Menteri akan melantik Exco di kalangan Wakil Rakyat yang menyokong dasar politik sesebuah kerajaan.

Pelik lagi ajaib, Pas melalui Majlis Syura dan Muktamar mereka ‘menghukumkan’ putus “Tahalluf Siyasi” dengan PKR yang mereka sedar sedang memimpin Negeri Selangor, tiada satu pun arahan dari Pas untuk para Exco mereka meletakkan jawatan sebagai Exco di Selangor demi menjaga maruah Pas.

Malahan sebaliknya iaitu Exco-Exco mereka diminta terus kekal, begitu juga dengan lantikan-lantikan politik yang disandang oleh ahli-ahli Pas di Selangor seperti Ahli Majlis dan sebagainya.

Ramai yang mempertikaikan maruah Pas ketika itu apabila berdepan dengan jawatan dan kedudukan.

Sekali lagi PKR menunjukkan sikap teramat berlembut demi untuk terus mengajak Pas bersama-sama arus perdana bersungguh-sungguh menentang rejim ‘kleptokrasi’ yang ada di hadapan mata sekarang.

Sikap MB Selangor yang tidak memecat atau menyingkirkan Exco-Exco Pas dianggap oleh segelintir penyokong Pas sebagai bukti PKR takut kehilangan Pas.

Walhal, ‘fatwa’ putus Tahalluf Siyasi dengan Keadilan dibuat oleh Majlis Syura dan Muktamar Pas, sewajarnya mereka yang mematuhi keputusan ‘fatwa’ parti mereka sendiri, mengapa perlu desak dan harapkan MB Selangor dari Keadilan untuk mematuhi fatwa mereka?

Mungkin, nawaitu mereka adalah untuk memaksa MB memecat Exco-Exco mereka dan kemudiannya mereka akan menjaja cerita bahawa sememangnya Keadilan ingin menyingkirkan Pas demi mengikut telunjuk Dap.

Maka mereka akan mainkan isu perkauman di Selangor dan menuduh kerajaan Selangor kini dikuasai oleh DAP (kaum Cina).

Berlembut dengan Pas

Keadilan terus digasak kiri dan kanan, depan dan belakang, bahkan dari dalaman sendiri apabila terus memelihara kedudukan Exco-Exco dari Pas ini.

Saya sendiri amat menentang tindakan luar biasa MB Selangor tersebut kerana ianya amat bertentangan dengan prinsip dan amalan berkerajaan.

Paling saya khuatir adalah bahawa Pas akan memperkukuhkan kedudukan dan pengaruh mereka di Selangor melalui lantikan-lantikan politik tersebut dan akhirnya akan menentang Keadilan dan Pakatan Harapan di dalam PRU14 nanti?

Akhirnya saya tidak lagi membicarakan isu tersebut apabila diberitahu bahawa langkah yang dibuat oleh MB Selangor itu adalah untuk memujuk Pas dan mengambil hati mereka agar kembali bersama kebangkitan rakyat. Kita tidak mahu dilihat sebagai pihak yang benci kepada penyatuan.

Sehingga begitu sekali PKR bertindak untuk membawa Pas menyertai perjuangan bersama melawan Unmo/BN. Tidak mudah, sukar dan menyedihkan.

Terlalu banyak untuk diceritakan betapa terlalu berlembutnya PKR dengan Pas walaupun setiap hari kepala-kepala kami diketuk oleh marhaen yang bencikan parti yang menunjukkan simpati kepada Umno/BN.

Semua ini dilakukan kerana PKR mahu merealisasikan pesanan Anwar agar ‘cubalah pujuk Pas”. Di samping pesanan itu, kita jangan lupa satu lagi amanat Anwar iaitu perkukuhkan Pakatan Harapan.

Agihan kerusi terbantut

PRU14 semakin hampir dan tanda-tandanya semakin dekat. Pengagihan Kerusi di kalangan parti-parti di dalam Pakatan Harapan sedikit terbantut dan tidak berjalan lancar kerana rundingan dengan Pas masih berjalan.

Dalam masa yang sama, Pas terus mengumumkan satu demi satu kawasan yang mahu dirampasnya termasuk di Permatang Pauh, Kajang bahkan di Gombak sendiri.

Di Pahang, kawasan yang diumumkan oleh Pas untuk bertanding adalah di kawasan yang PKR menang iaitu di Kuantan dan Indera Mahkota meliputi seluruh Dun di dalamnya termasuk di dalam 30 Kerusi Dun yang lain.

Ertinya, Pas telah bersedia serapinya untuk menentang PKR dan Pakatan Harapan. Pakatan Harapan pula masih belum selesai dan lancar di dalam pengagihan Kerusi terutamanya di peringkat Pusat yang melibatkan kawasan Parlimen seluruh negara.

Alhamdulillah, di Pahang, PKR dan Pakatan Harapan berjaya menyusun kerjasama dan berunding tentang agihan Kerusi tanpa melibatkan Pas.

Kebijaksanaan Pengerusi Pakatan Harapan Pahang yang juga Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdulrahman yang mempunyai sikap toleransi yang tinggi di samping sikap terbuka pimpinan-pimpinan dari AMANAH, DAP dan PPBM di Pahang amat membanggakan kami.

Suara akar umbi

Menyedari PRU14 semakin hampir dan jentera pilihan raya harus digerakkan segera, isu hubungan dan rundingan dengan Pas perlu dimuktamadkan segera.

Tunggu dan lihat tidak akan membantu keberkesanan gerak kerja pilihan raya Pakatan Harapan. Maka, digerakkan usaha untuk mengadakan Kongres Khas Keadilan bagi mencari satu keputusan jelas, jitu dan muktamad tentang hubungan dengan Pas.

Kongres Khas ini bukan bertujuan untuk menjatuhkan Presiden, Timbalan Presiden atau mana-mana pemimpin tetapi untuk menzahirkan suara sebenar akar umbi.

Ini bukan suara Rafizi Ramli seorang dan bukan untuk menaikkan tokoh muda yang mungkin (Na’Uzubillah) merengkok di dalam penjara dan tidak akan dicalonkan sebagai Wakil Rakyat atau pimpinan di dalam parti.

Suatu kerja yang sia-sia untuk berbuat demikian. Tetapi ini suara akar umbi yang harus didengar dan ia menepati kaedah di dalam Perlembagaan Parti Keadilan.

Tiada apa yang harus dirisaukan tentang Kongres Khas ini jika ianya berjalan. Seandainya Kongres Khas membuat keputusan setelah dibahas dan diundi oleh perwakilan, maka itulah keputusan parti yang wajib dipatuhi oleh semua.

Paling tidak, usul untuk putuskan kerjasama dan rundingan dengan Pas itu dibahas dan diundi. Ertinya, kita lebih demokrasi berbanding dengan Pas yang putuskan hubungan dengan Keadilan di dalam Muktamar mereka tanpa bahas.

Itu pun mereka langgar juga seperti di Selangor. Kongres Khas ini medan terbaik untuk parti apabila ada beberapa isu besar yang mendatangkan dilema kepada pimpinan parti.

PKR ada MPP dan Biro Politik, tetapi tidak semua perkara dapat diselesaikan oleh dua badan ini maka sebab itu dalam Perlembagaan Parti terdapatnya syarat-syarat dan keperluan Kongres Khas.

Objektif tercapai

Tidak sampai 24 jam Badan Bertindak Harapan PKR mengumumkan untuk memohon mengadakan Kongres Khas atas satu maudhuk sahaja iaitu menghentikan kerjasama dan rundingan dengan Pas, Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam satu mesyuaratnya mengambil keputusan bahawa Pakatan Harapan tidak lagi bekerjasama atau berunding dengan Pas di dalam PRU14 akan datang.

Keputusan sebulat suara ini ditandatangani oleh kesemua pimpinan tertinggi mewakili parti-parti di dalam Pakatan Harapan termasuk Presiden Keadilan, Datuk Seri Wan Azizah.

Sewajarnya keputusan ini dihormati oleh semua parti dan pimpinan di dalam Pakatan Harapan. Difahamkan, petang semalam Biro Politik PKR bermesyuarat dan saya penuh yakin kesemua ahli di dalam Biro Politik menghormati keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang turut ditandatangani oleh Presiden mereka sendiri.

Usahlah mencetuskan krisis baru kerana para penyokong di bawah telah mulai rasa penat dan jemu dengan kemelut yang tidak kesudahan.

Soalannya, perlukah Kongres Khas PKR diteruskan dengan pengumuman resmi dari Majlis Presiden Pakatan Harapan yang memuktamadkan tiada kerjasama politik dengan Pas?

Jawapannya bagi saya, Kongres Khas ini dituntut kepada PKR untuk melaksanakannya, jika PKR telah bersetuju dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan, ertinya objektif Kongres Khas telah tecapai dan tiada keperluan dan tidak releven lagi untuk memperkatannya, melainkan jika sebaliknya berlaku.

CATEGORIES
TAGS