Roboh menara azan, MBSA mahu Utusan Online tarik balik laporan

Roboh menara azan, MBSA mahu Utusan Online tarik balik laporan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Laporan portal berita Utusan Online kononnya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merobohkan menara azan Surau Ar-Raudhah di Setia Alam adalah fitnah dan berniat jahat untuk memperlekehkan kakitangan awam badan itu.

Ahli Majlis MBSA, Muhammad Shakir Ameer berkata pihaknya tidak merobohkan menara azan, sebaliknya merobohkan menara telekomunikasi haram berdekatan surau berkenaan.

“Saya amat terkejut apabila pihak Utusan Online tergamak memaparkan tajuk sedemikian rupa dengan niat mempolitikkan dan memburukkan perkhidmatan awam.

“Kami hanya menjalankan tugas yang diamanahkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” jelasnya dalam satu kenyataan dipetik Roketkini.

Semalam, Utusan Online melaporkan kononnya sebuah menara azan setinggi 30 meter di Surau Ar-Raudhah dirobohkan oleh MBSA atas alasan tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

Menurut Shakir yang juga Setiausaha Eksekutif Publisiti Sosialis Muda DAP (DAPSY), MBSA mengutuk fitnah portal milik UMNO berkenaan serta menuntut pihak Utusan Online menarik balik laporan mereka.

“Kami juga mahu mereka meminta maaf kepada pihak MBSA serta kakitangan awam secara serta-merta.

“MBSA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika mereka (Utusan Online) gagal berbuat demikian,” tegasnya

TAGS