Rohingya: Mufti Melaka gesa sidang Khas Parlimen

Rohingya: Mufti Melaka gesa sidang Khas Parlimen

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di ibu negara hari ini menyaksikan para mufti dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) bergilir berucap di dalam Stadium Titiwangsa.

Mufti Melaka misalnya menggesa supaya sidang Parlimen Khas diadakan bagi menyuarakan bantahan mengenai keganasan terhadap etnik Rohingya.

Pemimpin utama Pas dan Umno duduk sepentas menunjukkan solidariti untuk Rohingya

Sementara itu, pengerusi majlis memaklumkan himpunan yang menyaksikan kehadiran Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai kemuncak perpaduan umat Islam.

“Hari ini kita telah mencapai kemuncak perpaduan umat Islam. Terima kasih Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Abdul Hadi,” katanya diikuti tepukan gemuruh kira-kira 7,000 orang yang hadir.

Dalam perkembangan berkaitan, orang ramai dilihat terpaksa memberi laluan kepada kumpulan baju merah seramai lebih 50 orang di luar Stadium Titiwangsa pukul 10 pagi tadi.

Pemerhatian Malaysia Dateline juga mendapati ramai golongan muda berkemeja-T berwarna merah dengan tertera ungkapan “Junta Myanmar Zalim”.

Pemimpin Pas lain yang turut hadir ialah Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta Ketua Pemuda Nik Abduh Nik Aziz.

Turut hadir ialah bekas ahli politik Tan Sri Tan Sri Lee Lam Thye serta golongan veteran dan wanita Umno berdasarkan kemeja berlogokan parti itu.

Artis veteran juga kelihatan duduk di sayap pentas antaranya Datuk A. Rahman Hassan dan Datuk DJ Dave.

Difahamkan Gabungan Persatuan Karyawan Filem yang terdiri daripada tujuh persatuan artis turut hadir.

Para peserta membawa sepanduk, antaranya tertera ‘bebaskan Rohingya’ dan ‘Rohingya memerlukan suara anda untuk hapuskan pembersihan etnik’.

TAGS