Rohingya: Najib boleh guna kuasa PM, tak perlu berdemo

Rohingya: Najib boleh guna kuasa PM, tak perlu berdemo

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bingung mengapa Datuk Seri Najib Razak tidak menggunakan kuasa selaku perdana menteri, sebaliknya turun menunjuk perasaan berhubung kekejaman tentra Myanmar ke atas etnik Rohingya.

“Ketika saya menjadi PM dan Aung San Suu Kyi ditangkap, saya tulis surat dan hantar seseorang bertemu beliau.

“Saya sendiri berjumpa pihak berkuasa Myanmar dan bawa mereka lihat kebaikan demokrasi kerana pada peringkat itu (antara eksekutif) kita tak perlu menunjuk perasaan,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di persidangan tahunan DAP di Shah Alam hari ini.

Najib yang juga Presiden Umno hadir ke Perhimpunan Solidariti Untuk Rohingya bersama beberapa pimpinan utama Umno yang lain antaranya Naib Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Awang dan timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut duduk sepentas mengecam tindakan Myanmar ke atas etnik Rohingya.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata tunjuk perasaan merupakan suatu bentuk penentangan terhadap penguasa, bukan digunakan oleh penguasa terhadap penguasa lain.

“Hari ini saya menunjuk perasaan tetapi saya tidak lagi dalam kerajaan,” katanya.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau dijemput menghadiri Perhimpunan Solidariti Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa di ibu negara pagi tadi.

Turut hadir ke persidangan DAP itu ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“PKR tidak dijemput secara khusus, cuma ditanya secara terbuka,” kata Wan Azizah ketika ditanya sama ada beliau dijemput ke perhimpunan tersebut atau tidak.

Beliau bersetuju tiada keperluan untuk seorang perdana menteri menunjuk perasaan.

“Najib diberi kuasa selaku ketua kerajaan. Beliau sepatutnya mengeluarkan kenyataan dan mengambil pendekatan antara kerajaan,” katanya.

TAGS