ROS diberi 48 jam serah surat rasmi kepada DAP

ROS diberi 48 jam serah surat rasmi kepada DAP

Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) diberi tempoh 48 jam bermula semalam untuk menyerahkan surat rasmi berhubung arahannya supaya DAP melakukan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC).

Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo berkata, parti tidak boleh mengadakan pemilihan semula seperti yang diarahkan ROS tanpa menerima surat rasmi.

“Sehingga jam 1 petang hari ini (semalam), ROS masih tidak menyerahkan sebarang surat rasmi mengenai arahan untuk kami mengadakan pemilihan semula. Sekali lagi saya bertanya, di mana surat itu?

“Adakah ROS akan menghantar surat rasmi atau tidak. Jika tidak, adakah kami perlu bertindak mengikut arahan melalui kenyataan media yang dikeluarkan ROS pada Jumaat lepas?” soalnya dalam satu kenyataan.

ROS, katanya, tidak harus berdiam diri setelah mengeluarkan kenyataan media tanpa melalui saluran rasmi kerana ia menunjukkan sikap tidak profesional agensi itu dalam mengendalikan tugas mereka.

“Kelewatan ROS (menghantar surat) akan menjejaskan kami. Ia akan menimbulkan prejudis terhadap kami. Saya telah berkali-kali menegaskan di sini bahawa masa adalah perkara yang amat penting,” ujarnya.

Justeru, Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, DAP memberi tempoh sehingga Jumaat untuk ROS menghantar surat rasmi berhubung arahan tersebut atau pihak parti terpaksa mengambil keputusan sendiri berhubung kedudukan CEC.

“Memaksa kami melakukan pemilihan semula adalah amat tidak munasabah. Surat itu penting bagi kami. Ia harus menyatakan dengan jelas mengenai keputusan yang telah dibuat dan arahan atau tujuan yang perlu kami patuhi (untuk mengadakan pemilihan semula),” ujarnya.

TAGS