Rozan buat laporan polis insiden keganasan babitkan pemimpin Umno

Rozan buat laporan polis insiden keganasan babitkan pemimpin Umno

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pegawai kepada Ahli Parlimen Batu Rozan Azen Mat Rasip yang menjadi mangsa kekasaran kumpulan samseng diketuai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos dan Exco Pemuda Umno Armand Azhar di Ampang kelmarin membuat tiga laporan polis di Balai Polis Jalan Dang Wangi semalam.

Lapotan polis itu dibuat bagi menggesa pihak polis melakukan siasatan dan tindakan lanjut terhadap suspek yang cuba membuat provokasi membakar papan iklan dan menampal kain rentang berunsur lucah dan biadab di khalayak ramai.

Salah satu daripada tiga laporan polis yang dibuat Rozan.Menurut Rozan, Jamal yang mendakwa diri sebagai pengerusi Gabungan NGO-NGO Selangor telah membuat ugutan itu secara terbuka melalui sebaran media dan dilaporkan media massa.

“Pihak berkenaan telah dengan jelas membuat kenyataan yang berbaur ugutan dan menghasut orang ramai dan pihak tertentu untuk bersama beliau pergi ke lokasi-lokasi itu yang mengiklankan ‘Bebas Rakyat Bebas Anwar’ secara terbuka di kawasan orang ramai.

“Ternyata pengumuman dan ancaman yang beliau cuba lakukan itu telah mendapat reaksi negatif dan menimbulkan kemarahan orang awam di negeri Selangor Darul Ehsan selain menimbulkan kebimbangan atas keadaan keselamatan orang awam terutama jika beliau dan kumpulan pengikutnya tidak dihalang, ditahan serta didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 dan lain-lain pelanggaran perundangan tempatan negeri,” laporan polis itu dipetik.

Di balai polis yang sama Rozan turut membuat laporan berhubung kesakitan yang beliau tanggung akibat ditumbuk individu yang tidak dikenali dalam insiden itu.

Menurut beliau, individu berkenaan telah menumbuk beliau sebanyak tiga kali di bahagian badan.

Tumbukan itu, jelasnya telah mengakibatkan lebam dan sakit melebihi 24 jam sehingga memaksa beliau berjumpa doktor.

“Saya yakin identiti beliau boleh dicari dan dikenali disebabkan adanya bahan bukti rakaman visual oleh pelbagai pihak media seperti Malaysiakini dan lain-lain,” ujarnya.

Rozan menggesa individu terbabit didakwa di bawah Akta Jenayah dan lain-lain akta berkaitan.

Beliau turut membuat laporan polis berhubung perhimpunan haram yang diketuai Jamal pada petang 16 Mac di Jalan Memanda 1, Taman Dato’ Ahmad Razali, Ampang.

“Perhimpunan ini dilihat sebagai bermotif jahat (malafide), telah membuat ketidaksenangan di kalangan orang awam di kawasan berkenaan disebabkan berlaku di kawasan terbuka juga di laluan jalan raya utama di kawasan Ampang itu,” laporan polis itu dipetik.

Rozan berkata, perhimpunan haram dihadiri 50 hingga 70 remaja dan orang dewasa itu boleh didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan akta-akta berkaitan.

TAGS