Rumah kami di bulan Ramadan

Rumah kami di bulan Ramadan

Umat Islam sekali lagi diberikan rahmat oleh Allah SWT untuk menyambut bulan Ramadan yang barakah dan mulia. Ini merupakan satu nikmat ilahi bagi mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Puasa ini akan menghalang manusia dari kebiasaan makan dan minum. Jika pada sebelas bulan lain seorang Muslim boleh bebas makan dan minum dari awal pagi hinggalah ke malam hari namun pada bulan yang mulia ini mereka harus menahan diri dari menjamah makanan dan minum bermula dari masuk waktu subuh hinggalah terbenamnya matahari atau masuknya waktu maghrib.

Sebenarnya jika Allah tidak mewajibkan berpuasa sudah tentu manusia akan hanya menumpu kepada kenikmatan dunia yang tidak pernah habis. Restoren dua puluh empat jam dan kedai makan bertebaran seperti cendawan tumbuh dengan pelbagai jenis masakan yang menyelerakan. Ini kerana Malaysia adalah Negara yang mempunyai sejarah nya yang sangat unik. Masakan dari timur tengah, asia dan barat semuanya ada. Hingga ada yang mengatakan Malaysia adalah syurga makanan dunia!

Pada bulan Ramadan inilah kita semua akan menahan hawa nafsu yang sentiasa sukakan makan dan minum. Mereka melakukannya kerana mentaati Allah SWT dan bukan meninggalkan makan dan minum kerana manusia. Kerana mereka boleh sahaja menunjukkan rasa lapar dan dahaga di hadapan orang lain akan tetapi mereka boleh makan dan minum secara sulit di rumah jika mereka mahu namun mereka tidak begitu.

Mereka melakukan nya dengan penuh ikhlas mengharap redha Allah SWT. Oleh kerana itulah ganjaran bagi mereka yang berpuasa itu tidak dapat dinilaikan oleh pahala seperti amalan kebaikan yang lain. Hadith Nabi mengatakan bagi amalan berpuasa ini ganjaran nya adalah amat khas dan Allah SWT yang akan mengurniakannya kepada mereka yang beriman.

Hadith Nabi s.a.w : “Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman (yang ertinya), “Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan karena Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan yaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” (HR. Bukhari no. 1904, 5927 dan Muslim no. 1151)

Bagi setiap muslim dan muslimah terutama yang telah berkeluarga bulan ini disambut dengan penuh bahagia dan ceria. Sudah tentu hal ini tidak dapat difahami oleh masyarakat Barat. Bagi mereka menahan dan makan dan minum itu seolah-olah satu penyiksaan kepada fizikal atau tubuh badan.

Namun sebenarnya dari segi biologi, berpuasa itu akan memberikan kerehatan kepada anggota dalam tubuh manusia untuk berehat sekurang-kurangnya untuk selama lapan jam atau lebih dari itu jika di Negara Barat pada musim panas. Pada masa berpuasa tubuh akan menggunakan tenaga yang ada untuk dibakar dan sudah semestinya ia bagus untuk kesihatan.

Keluarga yang beriman sangat gembira dan ceria menghadapi bulan Ramadan ini. Meskipun Ramadan itu ertinya panas terik dan kebiasaanya berlaku di musim panas namun disambut dengan senyuman reda. Ramai para salaf menghias rumah mereka pada bulan Ramadan dan bukannya pada bulan Syawal. Kerana Ramadan bagaikan perayaan selama sebulan demi mengharap keampunan dan rahmat ilahi. Manakala Eid Fitr itu hanyalah pada hari satu Syawal sahaja.

Rumah dan masjid dipasang lampu yang indah. Rumah dibersihkan dan langsir diganti dengan yang bersih. Pada siangnya mereka menahan diri dari makan dan minum, membaca al-Quran dan berzikir dan malamnya dihias dengan ibadah malam solat Tarawih selepas isya dengan jumlah rekaat minimum 8 dan diakhiri dengan witr mahupun mereka menambah hingga 20 rekaat dan diakhiri dengan witr. Imam akan membaca seluruh Al-Quran sepanjang Ramadan. Ada sebuah masjid di Saudi seorang imam masjid menghabiskan tiga malam seluruh Al-Quran!

Nabi s.a.w bersabda : “Siapa berpuasa Ramadhan imanan wa ihtisaban (dengan keimanan dan mengharap pahala), diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. Dan siapa shalat pada Lailatul Qadar imanan wa ihtisaban (dengan keimanan dan mengharap pahala), diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR. Bukhari dan Muslim)

“Barangsiapa yang menunaikan shalat malam di bulan Ramadan imanan wa ihtisaban (dengan keimanan dan mengharap pahala), diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Maksud “imaanan” ialah mereka yang benar-benar beriman akan kewajipan hukum berpuasa dan “ihtisab” pula sebagai beribadah dengan niat mendapat keredhaan semata-mata dan ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Sebaik pulang sahaja keluarga dari masjid mereka akan berehat sebentar dan mula melakukan tadarus Al-Quran. Sebuah bulatan dibuat dengan ayah atau datok akan mengetuai bacaan. Semuanya akan membaca mengikut kadar yang ditetapkan sehelai seorang mahupun lebih hinggalah satu juzuk.

Tujuan tadarus ini ialah bagi menyemak bacaan ahli keluarga dalam keadaan yang betul dari segi hukumnya mahupun dibaca dengan tartil. Mereka membaca dengan perlahan sambil memahami maknanya dan mentadabburnya.

Rumah-rumah seperti inilah yang akan menghiasi taman-taman di dunia dengan nur al-Quran dan cahayanya yang penuh barakah sebelum mereka nanti memasuki syurga Allah SWT. Rumah-rumah seperti ini bukan bagaikan sebuah disko atau sebuah kedai bahkan sebuah tempat rehat bagi orang-orang yang beriman. Nabi berkata janganlah rumah kamu seperti sebuah kubur tetapi jadikanlah rumah kamu dengan solat. Yakni solat-solat sunat selain solat wajib di masjid.

“jadikanlah rumah kalian sebagai tempat solat kalian, jangan jadikan ia sebagai kuburan” (HR. Al Bukhari no. 432, 1187, Muslim no. 777)

Bayangkanlah kehidupan seorang muslim yang ahli-ahli keluarganya berbuka bersama dan bersenda gurau sambil menyuap makanan yang dimasak dengan hati dan iman serta kasih sayang. Keberkatan akan melimpah kepada keluarga ini. Mereka menuju ke masjid atau surau mengerjakan solat isya berjamaah dan bertarawih.

Kemudian pulang ke rumah dan melakukan tadarus Al-Quran dan berehat santai bersama keluarga tercinta. Keesokan pagi dinihari mereka bangun sekali lagi untuk bersahur dengan juadah yang dimasak ibu atau isteri tercinta sambil dibantu oleh para suami dan anak-anak.

Sebelum tiba waktu imsak mereka pula bangkit melakukan ibadah tahajjud dan zikir munajat memohon taufik dan hidayah untuk keluarga tercinta. Kemudia bila masuknya azan subuh mereka pula sekeluarga bergegas menuju ke masjid melakukan solat berjamaah subuh pula.

Pada waktu petang sebelum berbuka Ibu akan meminta anaknya untuk menghantar sedikit juadah ke rumah jiran. Sesunggunya ini adalah budaya yang indah sekali. Tuan rumah akan menerima dengan senyuman dan memulangkan balik juadah mereka pula.

“Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang berpuasa, iaitu pahala orang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit”. (HR al-Tirmizi)

Ada juga yang pergi kerumah orang yang memerlukan dan memberi sumbangan beras dan keperluan harian kepada mereka. Sesungguhnya budaya sedekah dan prihatin kepada yang memerlukan akan memberi natijah kasih sayang antara yang miskin dan kaya.

Ada pepatah menyebut “ Si kaya memerlukan si miskin untuk akhiratnya dan si Miskin memerlukan si kaya untuk dunianya”. Nasib manusia tidak sama dan tugas mereka ialah saling peduli dan ambil berat.

Kesimpulannya meskipun Ramadan dianggap sebagai bulan menahan makan dan minum dan segala tuntutan syahwat namun di sana tersembunyi ratusan rahsia kebaikan yang dilimpahi Allah SWT kepada seluruh manusia khususnya bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Ia adalah bulan siyam (puasa) dan bulan qiyam (Bangun beribadah di malam hari). Ianya bulan turun Al-Quran dan bulan tadarrus. Ia bulan yang dikurnialah Lailatul Qadr yang lebih hebat dari seribu bulan. Ianya bulan zakat fitrah dan sedekah jariah. Ia bulan keperihatinan kepada mereka yang lapar dan dahaga serta memerlukan. Ianya juga bulan kasih sayang, bulan rahmah kepada sesama insan. Ia juga adalah bulan keampunan Ilahi ke atas mereka yang kembali kepada Allah SWT.

Marilah kita teruskan ibadah kita pada bulan ini dengan bersungguh-sungguh bersama keluarga dan masyarakat. Jadilah kita contoh teladan kepada seluruh umat dengan akhlak dan keperibadian kita yang mulia.

Jadikanlah rumah-rumah kita sebagai sebuah syurga yang dihiasi dengan iman dan ibadah khususnya pada bulan Ramadan sebelum kita dijemput ke dalam syurga Allah SWT.

CATEGORIES
TAGS