“Rumah pilihan raya faham sajalah,” kritik netizen di Facebook Najib

“Rumah pilihan raya faham sajalah,” kritik netizen di Facebook Najib

Status Facebook Perdana Menteri malam tadi berkenaan Ekspo Rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Kuching terus dihujani kritikan netizen yang turut mengaitkan dengan kempen memancing undi.

 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Status Facebook Perdana Menteri malam tadi berkenaan Ekspo Rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Kuching terus dihujani kritikan netizen yang turut mengaitkan dengan kempen memancing undi.

“Nak pilihan raya memang macam ni lah yang terjadi,” selar Muhd Khairul manakala bidas Mohd Faznool, “Masa undi kan? Faham je lah.”

Pengguna Facebook, Nur Agatha pula berpendapat, “Rumah pilihan raya. Lepas tu jadi rumah berhantu. Lesap…” dan Iskandar Daniel lebih ‘pedas’ berkata, “Entah kroni-kroni depa dulu yang dapat.”

Selain itu, harga kediaman PR1MA yang tinggi juga mengundang pertikaian dalam kalangan netizen selain memberitahu tidak memperoleh rumah yang dipohon.

Bagi Dom Abu, “PR1MA kata untuk rakyat berpendapatan rendah tapi dijual dengan harga RM200,000 ke atas” dan luah Emi Amy, “Aku mohon tak dapat pun.”

Realiti harga rumah PR1MA yang mahal itu juga disebut netizen Sri Rahayu Adu Sarif sebagai, “mampu tengok” manakala Augustine Colin Adam mempertikai kewajaran rumah pangsa di negeri yang paling luas di Malaysia itu dengan menyoal, “Flat kat Sarawak?”

Kritikan terhadap rumah PR1MA itu turut dilontarkan Faried Freakish, “Rumah PR1MA pun mahal. Macam mana nak beli?” serta ujar Abuer Sheikh, “Tanya siapa sponsor PR1MA tu” juga Hakim Wahid secara menyindir berkata, “Berapa peratus masuk akaun?”

Kualiti bahan binaan kediaman yang diuar-uarkan kerajaan itu kononnya mampu milik juga diperkatakan pengguna Facebook, Gaara Wafi dengan menulis, “Apa istimewa sangat PR1MA? Material murah. Harga mahal.”

Najib Razak dalam status di media sosial yang dimuat naik pada pukul 11 malam tadi menerima lebih 300 komen berserta hampir 3,000 ‘likes’ setakat jam 7 pagi hari ini.

“Alhamdulillah, hari ini saya bersama Tan Sri Adenan Satem (Ketua Menteri Sarawak) di Majlis Perasmian Ekspo Rumah PR1MA di Kuching. Semoga ini dapat merealisasikan hasrat kerajaan memastikan setiap rakyat memiliki kediaman sendiri yang selesa, Insya-Allah,” seperti dipetik dari akaun rasmi Facebook Najib.

#RespectMyPM

Walau bagaimanapun ruangan komentar bagi status Najib itu turut dibanjiri komentar sekadar #RespectMyPM yang ditulis berulang kali. Tinjauan atas talian oleh Malaysia Dateline mendapati sebahagian mereka menggunakan ungkapan sokongan tersebut sebagai logo profil mereka beserta bendera negeri masing-masing.

Terdapat juga pengguna Facebook yang memberikan ulasan sebelum diakhiri hashtag tersebut seperti Khairuddin Halim yang berkata, “Untuk rumah PR1MA ni utamakan yang menyokong BN dulu.”

“Jasa PM satu pun takda diorang (pengkritik) berterima kasih tapi bila susah semua disalahkan PM,” kata Johan Majid yang memakai gambar Nobita iaitu watak siri animasi terkenal dari Jepun, Doraemon.

TAGS