Rumah Selangorku: Kementerian pertikai, PR1MA iktiraf

Rumah Selangorku: Kementerian pertikai, PR1MA iktiraf

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Permohonan Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk mengambil alih salah sebuah projek Rumah Selangorku adalah bukti Kerajaan Persekutuan menganggap polisi tersebut penting dalam menyelesaikan masalah perumahan rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata demikian ketika mengulas keengganan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan untuk mengiktiraf keberkesanan polisi rumah mampu milik Kerajaan Negeri Selangor melalui polisi Rumah Selangorku.

“Pada hakikatnya, walaupun pelbagai tuduhan telah dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri Selangor namun Kerajaan Persekutuan memerlukan Rumah Selangor untuk mencapai sasaran perumahan mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ekoran pengiktirafan PR1MA itu, Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor pada Jun lalu, katanya, telah bersetuju supaya sebuah projek Rumah Selangorku pemaju swasta dijadikan projek PRIMA dengan nama baru, Selangorku PRIMA.

“Kerajaan negeri melihat telah terdapat lebih 20,000 unit Rumah Selangorku yang telah diluluskan maka tidak ada masalah untuk melepaskan sebahagian kecil kepada PRIMA. Projek tersebut adalah di Cyber 11, Cyberjaya yang mengandungi 1,932 unit rumah mampu milik,” jelasnya.

Mengulas tindakan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Johan Abdul Aziz yang mempertikaikan polisi perumahan kerajaan negeri, beliau berkata, Johan mungkin baru dilantik ke jawatan tersebut.

“Disebabkan itu, beliau tidak menyedari PKNS telah membina projek rumah mampu milik yang pertama di Bandar Baru Bangi dan ia telah diduduki sejak 2015,” jelasnya.

Johan dalam kenyataannya seperti disiarkan Sinar Harian, 17 September lalu turut mendakwa syarikat-syarikat kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak lagi membina rumah rakyat.

Menurut Iskandar, terdapat sejumlah projek Rumah Selangorku lain oleh PKNS yang akan siap dalam tempoh tiga tahun seperti di Kampung Seri Temenggong, Gombak dan U12, Shah Alam selain Kota Puteri dan Antara Gapi yang sedang dibina.

“Perbadanan Negeri Selangor Berhad (PNSB) juga membina Rumah Selangorku di Sutera Damansara dan Ladang Air Manis, Sabak Bernam,” ujarnya.

Sehubungan itu, Iskandar yang juga Adun Cempaka menasihatkan agar kementerian yang bertanggungjawab menumpukan segala usaha untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat dan berhenti menyerang kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri lebih fokus dan telah menunjukkan kami berjiwa besar apabila sanggup mengadakan rundingan dengan PR1MA,” tambahnya lagi.

TAGS