Rusuhan tercetus di Amerika Syarikat akibat pemuda mati ditembak polis

Rusuhan tercetus di Amerika Syarikat akibat pemuda mati ditembak polis

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perintah berkurung terpaksa dikuatkuasakan di bandar Charlotte, Carolina Utara dari tengah malam hingga 6 pagi berikutan rusuhan selama tiga malam yang tercetus ekoran seorang lelaki kulit hitam mati dtembak seorang pegawai polis.

Perintah berkurung itu dijadual berkuatkuasa sehingga keadaan darurat ditarik balik atau pengisytiharan perintah berkurung dibatalkan.

Rusuhan yang melanda bandar itu membawa kepada satu kematian pada Khamis, apabila pegawai bandar berkata seorang penunjuk perasaan yang ditembak pada Rabu meninggal dunia.

Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di bandar itu pada Khamis, malam ketiga berturut-turut, sedang tentera pengawal kebangsaan memperkukuh pasukan polis di seluruh pusat bandar, sekali gus membantu menghentikan orang ramai, lapor Reuters.

Sementara itu, keluarga lelaki yang ditembak mati, Keith Scott, melihat video kejadian tersebut dan peguam mereka berkata tidak jelas apakah beliau memegang pistol semasa dibunuh.

Scott, 43, ditembak pada Selasa oleh seorang pegawai polis kulit hitam ketika polis sedang memburu seorang lelaki lain.

Polis menegaskan Scott membawa pistol semasa beliau didekati pegawai polis dan mengabaikan arahan berulang kali agar membuang senjata itu.

Keluarganya sebelum ini berkata beliau memegang buku, bukan senjata api.

Sementara itu AFP melaporkan, Gabenor Carolina Utara mengisytiharkan darurat berikutan rusuhan malam kedua.

“Saya mengisytiharkan darurat dan memulakan usaha mengerahkan Pengawal Kebangsaan dan Peronda Lebuh Raya membantu anggota penguat kuasa di Charlotte,” kata Gabenor Pat McCrory melalui Twitter.

TAGS