RUU 355: Bukan tohmahan tapi bahas secara ilmiah, tegas Pemuda Amanah

RUU 355: Bukan tohmahan tapi bahas secara ilmiah, tegas Pemuda Amanah

Pemuda Amanah Nasional menyeru supaya perbahasan dan diskusi secara ilmiah mengenai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dibuat memandangkan peruntukan itu melibatkan aspek teknikal dan undang-undang.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, banyak salah faham yang timbul ekoran apa yang dianggap ‘kejayaan’ pembentangan rang undang-undang ahli persendirian tersebut pada sidang Dewan Rakyat, Mei lalu.

“RUU 355 belum bentang. Apa yang berlaku tarikh persidangan lepas adalah usul (kebenaran Parlimen) untuk Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bentang.

“Usul itu pun belum bahas samalah sifatnya yang selalu dibawa MP (Ahli Parlimen) usul untuk membahaskan isu 1MDB dan sebagainya walaupun premisnya berbeza. Namun, penangguhan usul itu menyebabkan perlunya dibentangkan semula,” ujarnya yang juga peguam.

Beliau berkata, RUU 355 juga tidak mengikut prosedur lazim antaranya tiada perkenan Majlis Raja-Raja Melayu kerana undang-undang agama Islam adalah di bawah kuasa institusi tersebut.

“Pindaan Akta 355 melibatkan kesan kepada semua Mahkamah Syariah di seluruh negara yang mana raja-raja Melayu berkuasa ke atas negeri masing-masing, maka perkenan Majlis Raja-Raja Melayu perlu diperolehi terlebih dahulu. Seharusnya semua pihak hendaklah menghormati keluhuran perlembagaan dan undang-undang,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ambil kira demografi, maqasid

Mengulas lanjut kepentingan diskusi berkaitan RUU 355 diadakan, Faiz berkata, dakwah dan pelaksanaan syariah perlu dijalankan dengan hikmah mengambil kira demografi negara dan maqasid supaya Islam dapat ditunjukkan sebagai penyelesai dan rahmah.

“RUU 355 adalah antara undang-undang yang perlu dipinda bagi membolehkan hudud dijalankan. Namun, terdapat banyak perkara lain daripada segi teknikal, struktur dan pengurusan perlu diselesaikan.

“Pindaan 355 adalah perkara undang-undang yang harus diselesaikan oleh pihak bertanggungjawab iaitu Jabatan Peguam Negara jika benar kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berhasrat melaksanakan hudud.

“Namun, daripada segi teknikal, pengurusan dan struktur masih belum wujud di Kelantan. Di mana mahkamahnya? Siapa hakim dan pegawainya dan berapakah bajet tahunan yang telah disediakan?” soalnya.

Sehubungan itu, Faiz menyifatkan isu RUU 355 lebih kepada polemik politik sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan mengundang tohmahan terhadap pihak tertentu yang peka terhadap isu ini.

TAGS