RUU Akta 355: Amanah cadang Hadi pinda usul

RUU Akta 355: Amanah cadang Hadi pinda usul

Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji dan mencadangkan langkah-langkah pemerkasaan Mahkamah Syariah.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji dan mencadangkan langkah-langkah pemerkasaan Mahkamah Syariah.

Ahli jawatankuasa RUU 355 Amanah, Khalid Samad berkata, jawatankuasa itu mesti terdiri daripada Ketua Hakim Mahkamah Syariah setiap negeri, golongan cendiakawan dan ilmuan agama serta pegawai-pegawai berkenaan.

Saranan itu terkandung dalam cadangan pindaan kepada usul persendirian ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta 355 berhubung pemerkasaan Mahkamah Syariah.

Khalid berkata, jawatankuasa RUU 355 Amanah sudah pun menyediakan cadangan pindaan kepada usul pindaan Abdul Hadi selepas berbincang dengan pelbagai pihak termasuk wakil-wakil parti dalam Pakatan Harapan.

“Dewan ini menerima bahawa Mahkamah Syariah adalah institusi dan syiar keadilan Islam. Oleh itu kecemerlangannya dalam memainkan peranannya, seperti mana ditentukan oleh perlembagaan, hendaklah sentiasa diusahakan. Justeru ituadalah dicadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas yang terdiri dari Ketua Hakim Mahkamah Syariah setiap negeri, golongan cendiakawan dan ilmuan agama serta pegawai-pegawai berkenaan, untuk mengkaji dan mencadangkan langkah-langkah pemerkasaan Mahkamah Syariah untuk dipertimbangkan oleh Dewan Ini,” Kata Khalid sewaktu membacakan usul pindaan tersebut pada sidang media di Wisma Amanah di ibu negara hari ini.

Menurut beliau yang juga ahli Parlimen Shah Alam, langkah-langkah pemerkasaan Mahkamah Syariah harus meliputi empat persoalan iaitu:

I) Meningkatkan kecekapan Mahkamah Syariah dengan memperbanyak pendedahan dan latihan serta penambahan kakitangan ke tahap yang diperlukan.

2) Meningkatkan lagi kefahaman dan sokongan institusi dan jabatan-jabatan kerajaan serta pihak swasta terhadap peranan Mahkamah Syariah supaya memungkinkan ia memainkan peranannya dengan leboh berkesan

3) Mengkaji kembali skim gaji para hakim dan kakitangan Mahkamah Syariah supaya ditetapkan skim yang lebih wajar dan berpatutan demi mengelak ‘brain drain’ dan menarik minat mereka yang berpotensi dan

4) Mengkaji keberkesanan had dan jenis hukuman berkaitan jenayah syariah di bawah Mahkamah Syariah seperti yang termaktub dalam Akta 355. Sekiranya ia didapati kurang berkesan, maka jawatankuasa khas ini hendaklah mencadangkan ia ditingkatkan kepada satu had yang dianggap lebih berkesan sebagi satu usaha pencegahan dan pengajaran. Dalam menentukan had baharu, keadaan masyarakat dan kemampuan Mahkamah Syariah hendaklah diambil kira. Jawatankuasa khas ini diberi mandat untuk mengkaji corak hukuman lain, selain dari tida jenis yang disebutkan dalam Akta 35, yang bersifat mendidik dan membentuk akhlak, yang boleh turut dibenarkan sebagai corak hukuman yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah.

Justeru Khalid berkata, jawatankuasa khas yang dicadangkan ini mesti bersifat ‘non partisan’, segala usaha yang sedang dan telah dilakukan, oleh kerajaan-kerajaan negeri pembangkang seperti di Kelantan, Terengganu (1999-2004), Kedah (2008-3013), Selangor dan Pulau Pinang, hendaklah tuurt dikaji dan diambil kira.

Beliau sebelum itu berkata, Amanah telah menghantar surat rasmi kepada Abdul Hadi yang juga presiden Pas, meminta penjelasan beliau mengenai empat perkara utama berhubung pindaan yang ingin dibawa beliau pada sesi Parlimen Oktober ini

Namun katanya, Abdul Hadi tidak menjawab soalan-soalan yang dikemukakan menyebabkan Amanah terpaksa menentukan pendirian berhubung pindaan yang dicadangkan tanpa menerima apa-apa penjelasan tambahan.

“Amanah telah bertanya sebab mengapa keseluruhan seksyen 2 perlu digantikan. Tanpa adanya jawapan mahupun penjelasan, maka Amanah memutuskan bahawa tidak ada keperluan untuk perenggan pertama seksyen 2 Akta 355 diganti.

“Lebih-lebih lagi apabila perenggan baharu yang dicadangkan oelh YB Marang teramat kabir bila dibandingkan dengan yang sedia ada,” katanya.

Seksyen 2 A yang ingn dipinda membolehkan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, selain dari hukuman mati.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah pengerusi Jawatankuasa RUU 355 Amanah Dr Siti Mariah mahmud yang juga ahli Parlimen Kota Raja dan timbalan pengerusi Biro Undang-undang (Kanun) Amanah Wan Anwar Wan Ibrahim yang juga naib ketua Pemuda Amanah Nasional.

TAGS